AM

Wujud Pasukan Khas Laksana Pematuhan, Penguatkuasaan Larangan Merokok - Cuepacs

21/05/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan pasukan khas untuk melaksanakan pemantauan bagi pematuhan serta penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan dan restoran.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata cadangan itu susulan laporan kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 yang mendedahkan hampir 80 peratus responden di Malaysia menyatakan mendapat pendedahan asap rokok melalui premis makanan dan restoran.

“Dapatan itu sudah tentu mengejutkan kerana premis makanan dan restoran sewajarnya menyediakan persekitaran yang selamat serta bebas asap rokok memandangkan lokasinya yang menjadi kunjungan ramai  setiap hari termasuk kanak-kanak. 

“Pelbagai tindakan dan aktiviti penguatkuasaan telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan kawasan larangan merokok, namun masih tetap ada pihak berdegil dan enggan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa ini lebih 5,000 jawatan pegawai kesihatan persekitaran atau penolong pegawai kesihatan persekitaran (PKP/PPKP) wujud di KKM, namun jumlah itu tidak mampu menguatkuasakan sepenuhnya kawasan larangan merokok kerana mereka turut dibebani tugas lain antaranya kawalan penyakit berjangkit, kawalan vektor, pemantauan kualiti dan keselamatan makanan. 

“Sekiranya kerajaan ingin melihat kejayaan penguatkuasaan ini, maka pewujudan jawatan khas dan penambahan jawatan PKP/PPKP amat diperlukan bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok terutama di premis makanan,” katanya.

Adnan turut memohon KKM memastikan jawatan kontrak bagi PKP/PPKP dapat diserap ke jawatan tetap supaya mereka terus berkhidmat dengan kementerian terutama bagi memastikan kejayaan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit serta penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan sebanyak 7,195 notis kesalahan dikeluarkan daripada 17,719 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 sepanjang bulan lepas, dengan nilai tawaran berjumlah lebih RM1.01 juta.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan