AM

Unjuran Siling Kemasukan Pekerja Asing Tidak Lebih 15 Peratus Akan Dicapai Hujung Tahun

20/05/2024 10:10 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Unjuran siling kemasukan pekerja asing iaitu tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara seperti yang ditetapkan Kementerian Ekonomi akan dapat dicapai sebelum 31 Dis tahun ini, menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata setakat ini 17.1 juta daripada 34 juta rakyat Malaysia adalah dianggap sebagai kelompok atau tenaga boleh guna.

“Jadi 15 peratus siling yang diberikan Kementerian Ekonomi bermaksud jumlah pekerja asing seluruh negara tidak boleh melampaui siling itu.

“… dan kita dapati siling yang ditetapkan oleh kementerian itu akan dicapai pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata unjuran berkenaan turut mengambil kira jumlah pekerja asing sedia ada, jumlah pekerja asing yang majikan mereka telah mendapat kelulusan kuota dan jumlah yang telah mendaftar melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju bahawa pembekuan kemasukan pekerja asing adalah diperakukan.

Mesyuarat hari ini juga, katanya bersetuju untuk membenarkan penggajian kali pertama terhadap tekong asing melebihi usia 60 tahun bermula tahun ini dan ia memandangkan tekong mempunyai pengalaman besar selain sektor perikanan menyumbang RM16.5 bilion hasil tangkapan setiap tahun. 

“Kita benarkan (penggajian tekong) 60 tahun ini dan tempoh adalah tidak melebihi 36 bulan sebab pas lawatan kerja sementara adalah setiap enam bulan. Musim tengkujuh dia (tekong) tidak turun ke laut,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata setakat ini, jumlah tekong yang dibenarkan untuk digajikan ialah 332 orang dan dihadkan hanya tempoh tiga tahun sah.

“(Selepas itu) kita akan kaji semula dan minta kementerian merangka ‘exit policy’ (dasar pemisah) dan penggunaan teknologi semasa bagi menampung kemampanan perikanan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia menyokong keputusan mesyuarat jawatankuasa bersama untuk melanjutkan pembekuan kuota kemasukan pekerja asing 

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan mengekalkan keputusan untuk membekukan kelulusan kuota kemasukan pekerja asing baharu rentetan bilangan pekerja dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Sim jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah seramai 2,171,798 orang berlandaskan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia setakat 15 Mac.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan