AM

Penjaja Gerai Kemalangan Lega Terima Faedah SKSPS Perkeso

10/07/2025 08:54 PM

BUKIT MERTAJAM, 10 Julai (Bernama) -- Seorang penjaja kecil yang terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lepas, menarik nafas lega dan bersyukur kerana menerima faedah hilang upaya sementara RM13,354 menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

S.Vijayaletchime, 40, yang berniaga nasi campur dengan menumpang sebuah kedai kopitiam di sini berkata dia dan suaminya S.Thiago, 50, terlibat dalam kemalangan pada Ogos lepas ketika balik dari sebuah pasar raya.

"Waktu itu saya menaiki motosikal bersama suami sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah lagi motosikal tidak jauh dari rumah kami di Taman Machang Bubok di sini dan mengalami kecederaan di lutut dan pinggul hingga perlu berehat kira-kira tiga bulan.

"Doktor yang merawat meminta saya berehat kerana kecederaan yang dialami itu membuatkan saya langsung tidak boleh bergerak, jadi saya terpaksa menutup gerai menjual nasi dan lauk selama tiga bulan.  Sepanjang tempoh tersebut memang tiada pendapatan," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Dia ditemui selepas menerima cek cura serta kunjungan daripada Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Vijayaletchime berkata faedah yang diterima itu sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan hutang serta belanja keluarga. 

Ibu kepada dua anak berusia 23 dan 17 tahun itu, turut berterima kasih kepada Sim kerana caruman SKSPS itu telah ditaja oleh Ahli Parlimen tersebut dan dia merancang untuk menyambung bayaran pada tahun hadapan.

"Selepas kemalangan, saya buat urusan dengan PERKESO dan proses membuat tuntutan faedah adalah mudah, jadi saya syorkan kepada semua peniaga untuk mengambil caruman tersebut kerana ia sangat membantu jika ditimpa kemalangan," katanya.

Sementara itu, Sim berkata lebih 3,000 penjaja di Parlimen Bukit Mertajam ditaja caruman SKSPS  PERKESO demi kebajikan dan kelangsungan hidup serta masa depan mereka.

"Setahun ini, ada lebih kurang 10 orang pejaja di sini (Parlimen Bukit Mertajam) di bawah SKSPS yang telah terima pelbagai manfaat daripada PERKESO membabitkan jumlah keseluruhan RM30,507,” katanya.

Sim memaklumkan sepanjang tahun lepas, 800,000 orang mendaftar SKSPS dengan bilangan tuntutan 3,557 kes melibatkan RM12.5 juta hingga 31 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan