JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Johor Bahru menetapkan 20 Mei depan untuk keputusan berhubung permohonan perintah larangan bersuara terhadap Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkaitan projek kasino di Forest City.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham berkata Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini.
Beliau berkata pihak pendakwaan memohon semakan perintah larangan bersuara terhadap anak guamnya dari membuat atau mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes yang sedang dihadapinya selepas Mahkamah Sesyen menolak permohonan berkenaan sebelum ini.
“Hakim Mahkamah Sesyen (sebelum ini) telah menolak permohonan ‘gag order’ itu, namun pihak pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan atau perintah hakim menolak perintah larangan berkenaan.
“Justeru pihak pendakwa raya telah menulis di bawah Seksyen 323 Kanun Prosesur Jenayah, iaitu prosedur semakan memohon Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini untuk mengenepikan perintah itu dan memberikan ‘gag order’ kepada Chegu Bard,” katanya pada sidang media di perkarangan mahkamah itu di sini hari ini.
Pada 30 April lepas Badrul Hisham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mengeluarkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City.
Beliau didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook miliknya dengan nama “Che GuBard” di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lepas.
Mahkamah turut membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial