Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pembinaan Depoh Perluas Pengeluaran Getah Di Sarawak - Ahmad Zahid

31/05/2025 07:09 PM

SERIAN, 31 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diminta untuk membina sebuah Depoh Berprestasi Tinggi (DPT) secepat mungkin di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pembinaan depoh berkenaan dicadang di kawasan Samarahan.

Beliau berkata melalui pembinaan depoh itu juga diharap mampu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan getah di Sarawak dan membantu aspek pemasaran hasil oleh pekebun kecil.

“Buat masa ini kita bercadang untuk membina dua DPT di setiap negeri. Di Sarawak kita akan bina di Samarahan dan satu lagi lokasi kita akan tentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai RISDA Sarawak 2025 di sini hari ini. 

Ahmad Zahid berkata sebanyak RM6 bilion dibelanjakan setahun untuk mengimport getah bagi memenuhi keperluan industri negara.

Beliau berkata bagi mengurangkan kebergantungan import itu, RISDA diberi tanggungjawab untuk memperkukuh usaha meningkatkan pengeluaran lateks tempatan.

“Buat masa ini, 87 peratus pengeluaran getah negara datang daripada pekebun kecil dan hanya kira kira 13 peratus saja oleh ladang-ladang besar, jadi kebergantungan kita kepada pekebun kecil ini sangat besar.

“RISDA bertanggungjawab mengkoordinasi gerak kerja supaya sesi libat urus bersama persatuan-persatuan pekebun kecil atau pekebun kecil secara individu dapat dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran lateks,” katanya.

Buat masa ini Sarawak mempunyai keluasan tanaman getah sedia ada seluas kira-kira 161,000 hektar dengan jumlah pekebun kecil getah mencapai lebih 98,000 orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan