DUNIA

Buah-buahan Malaysia Buat Penampilan Pertama Di Namibia

15/05/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Promosi Buah-Buahan dan Makanan Malaysia yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia pada Rabu menandakan penampilan pertama buah-buahan Malaysia di pasaran Namibia.

Acara yang diadakan di kompleks diplomatik itu mempamerkan mangga harum manis, nangka, nanas MD2, jambu lohan dan  limau bali kepada lebih daripada 200 tetamu termasuk usahawan, peniaga runcit, diplomat dan penduduk tempatan untuk dinikmati.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dalam satu kenyataan berkata inisiatif ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Namibia menjadi pengedar buah-buahan dan produk makanan tempatan Malaysia serta membolehkan mereka menikmati buah-buahan Malaysia.

"Pengenalan awal buah-buahan kami, walaupun dalam kuantiti yang kecil, mewakili langkah penting untuk memasuki pasaran Namibia dan berpotensi ke pasaran-pasaran Afrika yang berhampiran," katanya.

Mohamad Rameez menyatakan bahawa perbincangan sedang diadakan dengan pihak berkuasa pertanian negara ini dan pengedar yang berminat untuk membawa masuk buah-buahan lain dalam bentuk segar -- termasuk durian.

Acara sepanjang hari itu dianjurkan dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia dan menarik pengedar-pengedar tempatan terkemuka seperti SAPAR, Shoprite, dan Pick and Pay Namibia.

Selain daripada pameran buah-buahan, acara ini juga menyajikan masakan tradisional Malaysia yang disediakan menggunakan buah-buahan sumbangan FAMA  oleh Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) Namibia.

Para hadirin menikmati pelbagai hidangan termasuk bubur manis, pengat nangka, salad tomato buah limau bali, mangga dan nasi himpit, pajeri nanas, dan petis buah jambu, disempurnakan dengan hidangan kegemaran Malaysia seperti rendang ayam dan mi goreng.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan