EKONOMI

STORAN TENAGA PENTING DALAM MAJUKAN AGENDA TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI MALAYSIA - SCHNEIDER ELECTRIC

11/05/2024 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Storan tenaga memainkan peranan penting dalam memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia kata Naib Presiden Kanan Secure Power Division Schneider Electric Natalya Makarochkina.

Pada ketika kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim dan kekangan bekalan tenaga, Makarochkina menekankan keperluan grid berdaya tahan yang disokong oleh storan tenaga untuk integrasi sumber boleh diperbaharui secara efektif.

“Gangguan yang berlaku sejak kebelakangan ini, sekali lagi menumpukan kepada keupayaan perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan berdaya tahan. Ini diterapkan kepada semua aspek perniagaan, termasuk rantaian bekalan. Bagaimanapun, prinsip yang sama sedang kini semakin mendalam dan lebih kepada perkara asas iaitu tenaga.

“Dengan kesan perubahan iklim yang semakin dirasai, dan tarikh akhir pengurangan kadar pelepasan karbon semakin hampir, di tengah-tengah gangguan dan bekalan tenaga yang terhad, daya tahan tenaga dan storan tenaga adalah penting, dalam memastikan sumber tenaga boleh diperbaharui (RES) boleh diintegrasikan ke dalam grid kebangsaan dan menjadi sesuai untuk menggerakkan ekonomi digital di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Schneider Electric menyokong Electricity 4.0, iaitu aplikasi teknologi digital untuk tenaga, bagi menyokong pertumbuhan dan kelestarian, sambil memastikan ketahanannya.

Makarochkina berkata sejak pelaksanaan dasar Lima Kepelbagaian Bahan Api pada tahun 2000 dan penerimaan Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui Kebangsaan pada tahun 2010, Malaysia telah melakukan kemajuan signifikan dalam mempelbagaikan campuran tenaganya, melepasi sasaran tahun 2025 20 peratus tenaga boleh diperbaharui, pada awal Mac 2023, sebahagian besarnya disumbangkan oleh tenaga solar.

Perlu dimaklumkan bahawa Malaysia telah melancarkan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang bertujuan untuk mencapai 31 peratus tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025, 40 peratus pada tahun 2035, dan 70 peratus pada tahun 2050.

Bagaimanapun, beliau berkata kebolehubahan sumber boleh diperbaharui, memerlukan penstoran tenaga berskala grid, di mana penyimpanan tenaga jangka panjang (LDES) dan microgrid semakin mendapat perhatian.

Makarochkina berkata LDES merupakan satu cabaran teknikal utama, dengan penyelesaiannya merangkumi dari hidroelektrik storan pam, ke teknologi yang sedang meningkat seperti bateri aliran dan storan hidrogen.

“Kejayaan ini dilihat sebagai satu kelebihan utama untuk grid tenaga yang didominasi oleh RES, kerana ia boleh diperluaskan dan lebih mudah disesuaikan dengan keragaman penghasilan angin dan solar,” katanya.

Beliau berkata kajian oleh McKinsey mengenai Sustainability, yang mengunjurkan penggunaan LDES yang signifikan menjelang tahun 2040, berpotensi mewakili sehingga 10 peratus daripada penggunaan elektrik di seluruh dunia.

Reka bentuk microgrid, bersama bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) pintar, menawarkan kapasiti penstoran jangka pendek bagi mengurangkan penggunaan grid puncak dan kebimbangan kebolehubahan.

Schneider Electric menekankan kepentingan inovasi digital dalam pengurusan tenaga, menyokong penggunaan  Electricity 4.0 untuk memacu kecekapan dan memudahkan integrasi grid pintar, penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui (RES), dan langkah ke arah sifar bersih.

Dengan sumber tenaga boleh diperbaharui menjadi tumpuan utama dalam peralihan tenaga, Schneider Electric meletakkan storan tenaga sebagai pemboleh kritikal, memperkasakan pengguna tenaga besar untuk menyumbang kepada masa depan sumber tenaga boleh diperbaharui yang lestari.

Makarochkina berkata penyimpanan tenaga berskala grid dan ketahanannya yang tersedia, akan menjadi kritikal dalam memudahkan sumber tenaga boleh diperbaharui tersebut, dalam grid pintar digital masa hadapan.

“Pengguna tenaga yang besar, memanfaatkan sistem tenaga digital boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian itu, menyokong perubahan, meningkatkan ketelusan dan menyokong pembangunan ekonomi digital yang lestari dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan