AM

PRK KKB: JANGAN BIMBANG KELUAR MENGUNDI KERANA KESELAMATAN TERJAMIN - KP SELANGOR

10/05/2024 09:17 PM

SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok kerana keselamatan dan ketenteraman awam adalah terjalin.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pengundi boleh keluar menunaikan tanggungjawab mereka tanpa sebarang kerisauan kerana anggota pasukan keselamatan itu berada di semua lokasi bagi mengawal keadaan.

“Polis Selangor memberi jaminan keselamatan yang terpelihara dan terkawal kepada setiap pengundi untuk keluar mengundi tanpa sebarang kerisauan.

Pengundi serta pihak yang terlibat dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang bersesuaian dan patuhi arahan anggota yang bertugas di lapangan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hussein turut mengingatkan calon yang bertanding serta penyokong supaya sentiasa menghormati dan mematuhi lunas undang-undang yang ditetapkan sepanjang proses pengundian esok. 

Beliau berkata semua pihak harus mengelak daripada menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) serta membuat sebarang provokasi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Hussein juga berkata lima kertas siasatan dibuka membabitkan dua tangkapan sepanjang tempoh kempen yang bermula pada 27 April lepas hingga semalam.

Beliau berkata lima daripadanya membabitkan Seksyen 4 dan Seksyen 4(A) Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Daripada lima kertas siasatan itu, dua individu iaitu lelaki warga tempatan telah dituduh di mahkamah,” katanya sambil menambah berdasarkan pemeriksaan polis, tiada ceramah dan kempen dilakukan tanpa permit.

PRK DUN KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan),  Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan