AM

ANWAR PERDANA MENTERI TERBAIK UNTUK MASYARAKAT INDIA - MANIVANAN

10/05/2024 04:26 PM

HULU SELANGOR, 10 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri terbaik bagi masyarakat India di negara ini dan ia dibuktikan menerusi pelbagai bantuan yang disediakan kepada kaum itu dengan menggunakan formula kesaksamaan dan bukan perkauman.

Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR Manivanan Gowin berkata antara bantuan yang telah disalurkan untuk masyarakat India ialah dana RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi program pembangunan sosioekonomi.

Selain itu, dana khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) sebanyak RM50 juta, dana RM60 juta untuk pembangunan usahawan India menerusi program khas 'SPUMI Goes Big,' RM20 juta untuk pembangunan infra Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan RM10 juta bagi membantu hal berkaitan perolehan tanah untuk pembinaan SJKT.

Bekas Ahli Parlimen Kapar itu berkata turut disediakan sejumlah RM68 juta bagi bantuan awal persekolahan kepada 455,021 pelajar India dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 62, 3375 individu membabitkan peruntukan lebih RM474 juta.

“Hanya insan ini sahaja yang mengetahui dan memahami situasi masyarakat India walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cemuhan dan kritikan rasis daripada pihak pembangkang namun beliau masih berani dan gagah mara ke depan untuk membantu semua lapisan masyarakat termasuk masyarakat India,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Manivanan juga berkata selama ini negara disajikan dengan formula pengagihan bantuan secara perkauman dan hanya Anwar satu-satunya Perdana Menteri yang menggunakan formula kesaksamaan untuk berkhidmat serta berbakti kepada rakyat Malaysia.

“Jadi jelas terbukti bukan sahaja di tanah air malah di peringkat antarabangsa, Anwar merupakan Perdana Menteri yang terbaik bagi Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan