AM

PRK KKB: PERSIAPAN HARI PENGUNDIAN BERJALAN LANCAR - SPR

10/05/2024 12:25 PM

HULU SELANGOR, 10 Mei (Bernama) -- Persiapan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok berjalan lancar, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak. 

Beliau yang ditemui ketika meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini berkata semua ketua tempat mengundi telah memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kelancaran.

"Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi. Petugas-petugas yang dilantik pejabat pengurus (PRK) juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman web mySPRsemak. 

Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup pukul 2 petang.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan),  Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan