AM

KAMPUNG ORANG ASLI KERLING LOKASI PERTAMA POC SATELIT STARLINK DI MALAYSIA - TEO

09/05/2024 08:31 PM

HULU SELANGOR, 9 Mei (Bernama) -- Kampung Orang Asli Kerling menjadi lokasi pertama di negara ini yang menjalankan pembuktian konsep (POC) Starlink, sebagai alternatif kepada gentian optik bagi capaian talian telekomunikasi yang lebih baik.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pemilihan Starlink sebagai sambungan teras ke menara Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kampung berkenaan, dilakukan memandangkan terdapat kesukaran untuk melakukan pemasangan gentian optik.

“Bagi penggunaan gentian optik, kita hadapi kesukaran, kerana jarak menara dengan nod (titik fiber) amat jauh iaitu kira-kira 7.5 kilometer dan banyak melibatkan tanah persendirian.

“Kita lihat ada keperluan untuk selesaikan segera isu perkhidmatan telekomunikasi ini dan ada alternatif Starlink dengan kos munasabah berserta kelajuan yang memuaskan, iaitu sekitar 45 Mbps hingga 56 Mbps.

Jadi kita jadikan ia (sebagai) projek rintis di sini dengan pemasangan dua satelit,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas meninjau pengoperasian dua satelit Starlink di Kampung Orang Asli Kerling, yang terletak kira-kira 18 kilometer daripada pekan Kuala Kubu Baharu.

Turut hadir, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya.

Teo berkata keberkesanan pelaksanaan POC itu akan dipantau MCMC, sebelum diperluaskan ke lokasi lain terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Perkhidmatan ini akan memudahkan urusan harian penduduk bagi tujuan komunikasi, pendidikan dan lain-lain dengan tawaran perkhidmatan telekomunikasi, antaranya daripada syarikat telco utama iaitu CelcomDigi, Maxis dan U Mobile,” katanya.

Pada 4 Mei, MCMC dalam kenyataan memaklumkan langkah menjalankan POC Starlink sebagai alternatif kepada gentian optik, diambil susulan terdapat keperluan kepada perkhidmatan telekomunikasi di perkampungan tersebut.

Menurut MCMC pengaktifan menara itu memberi manfaat kepada lebih 250 masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan, mula menikmati kemudahan perkhidmatan telekomunikasi melalui rangkaian 4G apabila menara komunikasi siap dibina dan diaktifkan lebih awal, melalui perkongsian rangkaian dan infrastruktur (MOCN) semalam.

Menurut kenyataan itu penduduk kini boleh membuat pilihan pakej yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mengikut kesesuaian atau keperluan masing-masing.

Terdahulu, lawatan Teo ke kampung berkenaan turut dihadiri wakil CelcomDigi, Theta Edge dan Redtone yang terlibat dalam membina dan mengaktifkan perkhidmatan di menara tersebut.

--  BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan