AM

KUMPULAN PERTAMA 282 JEMAAH HAJI BERLEPAS KE TANAH SUCI TENGAH MALAM INI

09/05/2024 12:27 AM

SEPANG, 8 Mei (Bernama) -- Kumpulan pertama yang terdiri daripada 282 jemaah haji Malaysia bakal berlepas ke Tanah Suci pada tengah malam ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Penerbangan Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Madinah itu akan berlepas pada 12.05 tengah malam dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 3.50 pagi esok waktu tempatan.

Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan dan Kedah itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. 

Mohd Na'im dalam kenyataan sempena majlis pelepasan jemaah haji itu mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain mengikuti nasihat pihak TH supaya semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Saya mewakili pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perjalanan bakal haji dipermudahkan Allah SWT dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, Syed Hamadah dalam kenyataan sama berkata pada tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci.

"TH telah membuat perancangan dan persiapan rapi sejak tamatnya operasi haji tahun lepas lagi sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah Malaysia ketika menunaikan ibadat haji tahun ini," katanya. 

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula 9 Mei, manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun ini.

Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan