AM

WARGA EMAS TUNAI HAJI SELEPAS LIMA KALI TERIMA 'JEMPUTAN'

19/05/2024 03:10 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

 

MAKKAH, 19 Mei (Bernama) -- Biarpun garis-garis usia jelas terlakar di wajahnya, namun berbekalkan kudrat yang tidak seberapa, warga emas Azizah Awang Dollah tetap bersemangat untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, setelah empat kali menolak tawaran.

Bagi Azizah, 73, pesara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dari Kelantan itu, walaupun tanpa peneman, namun ia tidak menghalang dirinya daripada menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi musim haji 1445H/2024.

"Sebenarnya ini adalah tawaran kali kelima yang mak cik terima. Apabila mendapat panggilan untuk kali kelima, mak cik fikir kena pergi juga sebab Allah dah panggil sebab tu kena beranikan diri juga untuk datang. 

"Tawaran kali pertama mak cik terpaksa tolak sebab terjatuh patah (kaki), sehingga perlu dimasukkan besi, kali kedua dan ketiga disebabkan COVID-19, manakala kali keempat disebabkan bertukar nombor telefon menyebabkan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dapat hubungi mak cik, " katanya kepada petugas media ketika ditemui di Hotel Abraj Al Janadriyah di sini. 

Biarpun terpaksa berkerusi roda semasa mengerjakan tawaf umrah baru-baru ini, Azizah yang mempunyai seorang anak berumur 40 tahun dan dua orang cucu, yakin mampu menunaikan haji dengan baik dan sempurna berbekalkan pengetahuan yang diperoleh daripada kursus haji yang diikutinya setiap tahun ketika menerima tawaran. 

Azizah yang pernah bekerja di Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan berkata dia mula menabung di dalam akaun Tabung Haji sejak usia 29 tahun.

"Menabung mula-mula tu RM10 sahaja sebulan dan kemudian naik sedikit RM20, tetapi lama kelamaan bila berduit sedikit baru kita tambah dari semasa ke semasa. 

"Sesiapa yang nak menunaikan haji, buatlah potongan gaji setiap bulan, kalau tak susah nak konsisten menabung," katanya yang ditempatkan di Maktab 77.

Berkongsi rahsia kekal sihat bagi diri yang semakin dimamah usia, Azizah yang ada masalah gastrik berkata dia sering menjaga pemakanan termasuk mengelakkan makanan berlemak, pedas dan berminyak. 

"Mak cik lebih suka lauk sayur air dan masak menggunakan minyak zaitun. Selain itu, mak cik juga amalkan makan habbatus sauda, itu tak boleh ditinggalkan sejak muda," katanya yang turut mengelakkani makan budu dan mengurangkan pengambilan gula.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan