AM

SERANGAN KE ATAS PEMAIN BOLA SEPAK: POLIS DIMINTA PERTINGKAT KAWALAN KESELAMATAN

08/05/2024 09:52 PM

SHAH ALAM, 8 Mei (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta pihak polis meningkatkan tahap kawalan keselamatan susulan tiga insiden serangan jenayah terhadap pemain bola sepak negara baru-baru ini.

“Permintaan saya kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) petang tadi adalah untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan bukan sahaja kepada tiga insiden yang telah berlaku tetapi juga kepada semua yang terlibat… itu jaminan keselamatan yang saya beri tadi.

“Saya meletakkan keyakinan tinggi atas permintaan yang saya anggap munasabah dan kena pada masanya... pihak polis di sebalik tugas hakiki yang lain, akan melibatkan tugasan untuk berikan jaminan kepada keselamatan,” katanya kepada pemberita di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menziarahi pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim selepas pemain berusia 26 tahun itu cedera disimbah asid di pusat beli-belah di Petaling Jaya pada Ahad lepas.

Saifuddin Nasution berkata beliau dimaklumkan oleh doktor pakar bahawa Faisal Halim, yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat sukan bola sepak, berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kedua semalam.

“Barisan doktor memaklumkan bahawa keadaan fizikal Faisal dilihat berada pada tahap optimum dari sudut kesihatannya... itu memberikan kelegaan kerana reaksi beliau terhadap proses rawatan berikutnya sangat bergantung kepada keadaan fizikalnya.

“Saya tunjuk isyarat berdoa iaitu seluruh rakyat Malaysia sedang mendoakan Faisal dan saya dapat daripada pandangan matanya semacam mahu berkomunikasi dengan kami tapi cukuplah saya tunjukkan isyarat doa,” katanya.

Baru-baru ini, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dan pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat di beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam selain pergerakan serta percakapannya turut terbatas.

Insiden malang itu adalah yang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di bahagian kepala dan kaki selepas diserang serta disamun oleh dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu pada Khamis lepas.

Semalam, pemain Johor Darul Ta’zim Safiq Rahim pula diserang di Johor Bahru oleh dua lelaki menaiki motosikal yang bertindak memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan