AM

FENOMENA ISLAMOFOBIA HARUS DISELESAIKAN DEMI PERPADUAN SEJAGAT - ULAMA MESIR

08/05/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Penyelesaian masalah Islamofobia harus menjadi agenda penting pemimpin negara Islam, ulama serta cendekiawan Islam dalam memastikan keharmonian dan perpaduan antara masyarakat sejagat terus terjamin.

Menurut Ketua Bidang Syariah Dar Fatwa Mesir Dr Ali Omar Al-Farouq fenomena Islamofobia kini semakin giat dipropagandakan oleh segelintir masyarakat yang takut dengan penyebaran Islam terutama dalam suasana kemajuan teknologi dan kepesatan media sosial.

“Golongan ini cuba mempengaruhi pemikiran orang ramai yang berminat dan ingin memeluk agama Islam dengan menyebarkan naratif negatif bahawa Islam mempromosikan keganasan dan ekstremisme.Mereka juga mengatakan agama Islam tidak menyeru kepada perpaduan dan kedamaian,” katanya ketika ditemu ramah wartawan Meja Arab Bernama hari ini.

Ali Omar berkata sesiapa yang mengkaji bagaimana umat Islam hidup bermasyarakat pada zaman Rasulullah SAW akan menyedari bahawa apa yang mereka propaganda itu bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

Beliau berkata negara Islam zaman Rasulullah itu diasaskan berdasarkan keamanan dan kewujudan bersama antara masyarakat pelbagai agama yang hidup aman dengan pemeteraian Piagam Madinah.

Mengenai  persidangan Majlis Ulama Asia pada kali ini, Ali Omar berkata persidangan itu menjadi satu platform terbaik untuk membincangkan isu-isu yang menjadi perhatian umat Islam pada zaman ini.

“Umat Islam sangat memerlukan persidangan seperti ini supaya ia dapat membantu memperbetulkan pemahaman tentang agama Islam dan pada masa sama menyatukan semua pemikiran," katanya.

Beliau juga berharap persidangan susulan akan diadakan selepas ini supaya idea yang dibincangkan dapat diterima pakai dan dilaksanakan pada masa hadapan.

Majlis Ulama Asia 2024 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kehadiran Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan