AM

Sambutan Hari Wesak Medium Tingkatkan Pemahaman Antara Masyarakat Berbilang Kaum - Saraswathy

19/05/2024 04:24 PM

Oleh Previnna Thuraisingam

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wesak yang disambut pada setiap tahun memainkan peranan penting dalam mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata sambutan yang sering dihadiri kira-kira 40,000 orang di ibu negara itu selain dapat mengeratkan perpaduan ia juga menggalakkan masyarakat untuk lebih mengenali budaya agama lain.

“Sambutan ini memberi peluang kepada masyarakat yang terdiri pelbagai latar belakang agama dan budaya untuk bersatu dalam menghormati budaya dan warisan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Ia juga menjadi platform untuk pemahaman dan penghargaan antara komuniti yang berbeza fahaman agama dan menyumbang kepada semangat harmoni serta sikap toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Tambah beliau, sambutan yang pada kebiasaannya dihadiri ribuan pengunjung terdiri pelancong, penganut dan juga masyarakat setempat itu dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sasana Abhiwurdhi Wardana bagi Tokong Buddha Maha Vihara Brickfields, Tilak Leslie berkata sambutan Hari Wesak pada tahun ini dijangka kurang mendapat sambutan seperti biasa memandangkan faktor cuaca yang tidak menentu.

“Memandangkan setiap petang hujan dan sambutan pada tahun ini jatuh pada hari bekerja, kami tidak pasti sama ada kami dapat mengumpulkan ramai orang tetapi di Vihara dijangkakan kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang dalam tempoh dua hari iaitu 21 dan 22 Mei,” katanya ketika ditemui Bernama di Tokong Buddha Maha Vihara di sini.

Tambah Leslie, pada hari sebelum perayaan itu iaitu pada 21 Mei, kempen menderma darah serta organ, pengagihan makanan dan minuman percuma turut akan diadakan.

“Kami menjangkakan untuk memberikan kira-kira 7,000 hingga 8,000 pek makanan seperti mi vegetarian dan nasi,” katanya.

Leslie berkata pada sambutan setiap tahun, kira-kira RM25,000 dibelanjakan bagi menyediakan makanan percuma dan kos itu lazimnya disumbangkan oleh para penganut di tokong itu.

Selain itu, sebanyak 20 kereta berhias dijangka menyertai perarakan sejauh 12 kilometer (km) yang dijangka mengambil masa empat jam yang bermula 6 petang di Tokong Buddha Maha Vihara melalui Little India, Pasar Seni, Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang sebelum kembali ke tokong. 

Bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan pengagihan makanan percuma, Leslie berkata seramai 80 orang telah menyertai program sukarelawan yang dianjurkan tokong itu. 

"Mereka daripada pelbagai kaum juga dialu-alukan untuk menjadi sukarelawan dan membantu menguruskan orang ramai, menjaga kebersihan premis serta pengagihan makanan,” katanya.

Hari Wesak yang disambut pada 22 Mei ini adalah hari terpenting masyarakat beragama Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama. 

Ia disambut dengan menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, menabur bunga dan memandikan patung Buddha.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan