AM

51 NADI BEROPERASI DI N.SEMBILAN, 11 DALAM PERANCANGAN - EXCO

08/05/2024 07:59 PM

SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Sebanyak 51 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) kini beroperasi di Negeri Sembilan dengan 11 lagi dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli berkata pusat berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bertujuan meningkatkan kemahiran digital dalam masyarakat.

“Pentadbiran negeri sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mewujudkan program Nadi di seluruh negeri.

“Program itu antara lain membantu usahawan luar bandar dalam pengetahuan berkenaan perniagaan secara dalam talian dan yang berkaitan,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memperkasa keterangkuman digital, kerajaan negeri sentiasa memperluaskan liputan telekomunikasi dengan 76.6 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan jalur lebar mudah alih 5G berkelajuan capaian sehingga 1 Gigabit sesaat.

Beliau berkata 66 sekolah luar bandar juga mendapat kemudahan sambungan fiber optik di bawah Program Point of Presence (POP) Kementerian Komunikasi dan sebanyak 189 dalam pelaksanaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Program Advokasi dan Jangkauan di Kampung Orang Asli Negeri Sembilan berjaya merangkul kejayaan dalam Sidang Kemuncak Dunia Masyarakat Maklumat (WSIS) 2024 sebagai juara bagi Kategori 5-AL C5 iaitu Membina Keyakinan dan Keselamatan dalam Penggunaan ICT.

“Majlis penganugerahannya akan diadakan di Geneva, Switzerland pada 30 Mei ini. Kejayaan ini merupakan pengiktirafan besar dunia kepada Malaysia khususnya Negeri Sembilan dalam merealisasikan aspirasi untuk meningkatkan kesedaran komuniti Orang Asli tentang manfaat dan risiko keselamatan dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata semua daerah mempunyai hospital dengan 95 klinik desa setakat ini.

"Perancangan terkini ialah menaik taraf infrastruktur fasiliti klinik desa yang mengambil masa tiga tahun bermula tahun ini hingga 2025. Tahun lepas 31 klinik desa dibaik pulih manakala pada tahun ini, 10 lagi sedang dalam proses roboh bina serta 10 akan menjalani proses pembaikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Teo Kok Seong berkata dalam memacu pembangunan Negeri Sembilan Moden menjelang 2045, terdapat tiga komponen utama iaitu Agropolis (berkaitan pertanian di bandar), Biodiversiti dan Malaysia Vision Valley 2.0. (MVV 2.0).

Bagi Agropolis, beliau berkata Jempol, Tampin, dan Kuala Pilah memfokuskan industri pertanian meliputi perladangan, pertanian, pengeluaran produk makanan, promosi dan pengedaran manakala Jelebu memainkan peranan sebagai elemen kestabilan biodiversiti di negeri ini.

 "Matlamat biodiversiti adalah pembangunan mampan dan pemuliharaan sumber asli, ia juga berpotensi sebagai ekopelancongan dengan promosi dan kemudahan pelancongan yang luas.

"Bagi MVV 2.0 tumpuan diberikan bagi memperkemas ekosistem industri dan pemangkin dalam usaha memberi manfaat inklusif ekonomi di setiap daerah," katanya.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan, Suhaimizan Bizar (BN-Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-Serting) dan Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) masing-masing memohon kerajaan negeri menaikkan gaji wakil rakyat di negeri ini.

“Pembayaran gaji wakil rakyat di negeri ini paling rendah berbanding negeri lain. Bagi pihak pembangkang yang tidak mendapat peruntukan, realitinya itulah gaji dan digunakan kepada rakyat," kata Mohd Fairuz.

Antara isu rakyat lain yang disuarakan ialah mencari penyelesaian tentang masalah pencemaran bau akibat aktiviti penternakan ayam yang tidak terkawal di sekitar Gemencheh selain menyelesaikan masalah perparitan di beberapa kawasan titik panas banjir kilat termasuk di Kampung Dato' Johan Serting Tengah, Bahau dan Serting Ilir. Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan