AM

LAPORAN INTERIM NAHAS HELIKOPTER TLDM DIKELUARKAN ESOK - FAHMI

08/05/2024 04:54 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Laporan interim nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lepas akan dikeluarkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu telah dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat Kabinet hari ini.

“Menteri Pertahanan (Mohamed Khaled) hari ini memberi sedikit maklum balas mengenai status laporan awal siasatan bagi nahas helikopter yang berlaku di Lumut (Perak) baru-baru ini.

“Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok dan ini adalah laporan awal dan belum ada (laporan) keseluruhan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata mesyuarat Kabinet turut dimaklumkan bahawa laporan penuh siasatan itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri telah berbincang dengan mendalam mengenai insiden nahas helikopter yang berlaku di Pangkalan TLDM, Perak dan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam tempoh sebulan.

Dalam tragedi pada 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan