AM

ISTANA BUDAYA AKAN NAIKKAN KADAR SEWA PENTAS PANGGUNG SARI

07/05/2024 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kadar sewa Panggung Sari yang merupakan pentas utama di Istana Budaya, dijangka akan dinaikkan selepas kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan itu siap awal 2026.

Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata kadar sewaan pentas berprestij itu tidak pernah dipinda mengikut keadaan semasa, sejak 25 tahun lepas.

“Kita dah 25 tahun dengan harga yang sama iaitu RM15,000 dan harga itu sudah tidak relevan lagi sedangkan Panggung Sari mempunyai kecanggihan teknologi yang menyamai taraf panggung lain di seluruh dunia.

“Kali ini, kita perlu membuat pengiraan (dan harga) mengikut keperluan setiap penerbit dan tiada lagi kadar sama rata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Lambang Sari Series: Resilience and Triumph di sini, hari ini.

Zubaidah berkata penetapan harga baharu itu akan diumumkan sebelum pembukaan semula Istana Budaya pada Januari 2026 nanti.

“Kita akan duduk dan berbincang dengan Jabatan Penilaian Harta yang akan membantu menilai dan memberi kadar sewaan berpatutan serta bersesuaian dengan harga semasa,” katanya.

Sementara itu, Zubaidah dalam ucapannya berkata Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) akan tampil dengan siri pertama Lambang Sari Series: Resilience and Triumph yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), pada 18 Mei ini.

Persembahan itu dipimpin oleh Nasran Nawi selaku konduktor bagi orkestra ini, yang akan mengemudi seramai 39 pemuzik masing-masing daripada OSK dan dijemput khas serta penampilan istimewa pemain piano solo Muzaffar Abdullah.

“Antara komposisi lagu yang akan dipersembahkan adalah daripada komposer barat terkenal seperti Hector Berlioz (Roman Carnival Overture, Op.9), Maurice Ravel (Piano Concerto for the Left Hand in D Major, M. 82) dan Jean Sibelius (Symphony No.2 in D Major, Op. 43).

“Gabungan hebat ini, pastinya memberikan rasa keterujaan dalam menghayati setiap gelombang bunyi irama muzik yang memasuki halwa telinga setiap penonton,” katanya.

Tiket konsert telah mula dijual pada harga serendah RM88, RM108, RM180 dan RM280 dan tempahan tiket boleh didapati di laman sesawang rasmi DFP https://www.dfp.com.my/lambang-sari-series-resilience-and-triumph. 

Istana Budaya turut menawarkan harga tiket promosi dengan potongan harga 30 peratus bagi penjawat awam, dengan menggunakan kod (GOV30) dan Warga Emas (SENIOR30) dengan setiap pembelian perlu disertakan dengan KOD Diskaun dan ID, manakala bagi golongan pelajar dan pemegang kad OKU boleh membuat pembelian tiket secara terus di Kaunter DFP Box Office dengan mempamerkan Kad Pelajar atau Kad OKU. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan