AM

PRK KKB: 97 PERATUS PENGUNDI AWAL LAKSANA TANGGUNGJAWAB - SPR

07/05/2024 07:53 PM

HULU SELANGOR, 7 Mei (Bernama) -- Sebanyak 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata agensi itu merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Proses pengundian awal berlangsung di dua pusat mengundi iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.

Kedua-dua pusat mula dibuka pada 8 pagi dan ditutup pada 5 petang.

PRK itu, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN KKB.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan