AM

MEDIA ARUS PERDANA PERLU TINGKAT KUALITI, BERSAING DENGAN WARTAWAN SEGERA

07/05/2024 03:25 PM

JOHOR BAHRU, 7 Mei (Bernama) -- Media arus perdana perlu meningkatkan kualiti dan produktiviti masing-masing untuk bersaing dengan “wartawan segera” menerusi pelbagai platform digital.

Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak berkata peningkatan kualiti itu mustahak untuk memastikan media arus perdana terus menjadi sumber rujukan utama rakyat melibatkan pelbagai isu semasa.

Pada masa sama, Mohamad Fauzi yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berkata pengamal media arus perdana juga perlu mengekalkan etika kewartawanan dalam setiap laporan berita bagi membezakan mereka dengan wartawan tidak bertauliah atau lebih dikenali sebagai “wartawan segera” itu.

“Sebagai pengamal media arus perdana, kita didedahkan dengan Kod Etika Wartawan Malaysia yang diwujudkan sejak 1989 berbanding wartawan segera yang menulis mengikut kehendak masing-masing tanpa memikirkan soal etika yang seiring dengan rasa tanggungjawab.

“Pengamal media arus perdana perlu menjalani latihan kewartawanan sepanjang tempoh bergelar wartawan kadet mengikut tempoh yang ditetapkan agensi masing-masing, sebelum disahkan jawatannya selaku wartawan. Ini tidak sama dengan wartawan segera yang menulis hanya kerana ingin menulis tanpa mendapat latihan kewartawanan secara rasmi,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Pada 20 Feb lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang ditambah baik daripada Etika Wartawan Malaysia yang diterbitkan MPI pada 1989.

Mengenai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”, Mohamad Fauzi berkata pihaknya berharap sambutan berkenaan akan meningkatkan lagi pelaporan berita yang bertanggungjawab untuk manfaat rakyat dan negara. 

“Tema HAWANA tahun ini selari dengan komitmen setiap agensi media arus perdana di negara ini untuk menyampaikan berita dan maklumat berkenaan dasar dan polisi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Kami komited untuk memikul tanggungjawab dan amanah ini sebagai sebahagian komuniti dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang mahu melihat media tempatan terus maju di persada antarabangsa,” kata Mohamad Fauzi.

Sambutan HAWANA 2024 akan diadakan pada 25 hingga 27 Mei di Kuching, Sarawak dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan kemuncak sambutan yang memasuki edisi keempat tahun ini, selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Pelbagai program dirangka bersempena dengan HAWANA 2024 antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital” yang dijangka dihadiri 600 peserta melibatkan penceramah tempatan dan luar negara yang terkenal.

Turut diadakan Program Jelajah Siswa yang merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur dan Selatan serta zon Tengah dengan pelancarannya dijadualkan pada 24 Mei ini oleh Fahmi. 

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara-negara anggota ASEAN turut dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang merupakan platform penting untuk fraterniti media profesional dan pakar industri, bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah agensi pelaksana acara tahunan itu.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan