EKONOMI

BELIAN EKUITI OLEH PELABUR ASING LONJAK 3.6 KALI, CECAH RM1.06 BILION MINGGU LEPAS

06/05/2024 12:23 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pembelian asing ke atas ekuiti Malaysia melonjak 3.6 kali kepada RM1.06 bilion pada minggu lepas berbanding RM292.2 juta pada minggu sebelumnya, didorong oleh aktiviti belian bersih setiap hari dalam tempoh seminggu.

Menerusi Laporan Aliran Dana mingguan terkini, MIDF Research berkata ini merupakan jumlah belian bersih mingguan paling kukuh dalam tempoh dua tahun dengan kali terakhir aliran masuk sebegitu ketara pada minggu berakhir 18 Mac, 2022 yang berjumlah RM1.18 bilion.

“Pelabur asing melakukan belian bersih berjumlah RM451.8 juta pada Isnin (29 April) dan seterusnya masing-masing RM184.3 juta pada Selasa, RM43.0 juta pada Khamis dan RM376.1 juta pada Jumaat.

“Sektor yang mencatat aliran masuk dana asing tertinggi adalah utiliti sebanyak RM443.7 juta dan diikuti dengan perkhidmatan kewangan (RM277.3 juta) serta telekomunikasi dan media (RM140.4 juta).

“Selain itu, sektor dengan aliran keluar dana asing bersih tertinggi adalah tenaga (RM22.4 juta), perladangan (RM16.9 juta) dan hartanah (RM10.4 juta),” kata cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu.

Menurutnya, institusi tempatan memanfaatkan sokongan kukuh terhadap pasaran tempatan apabila membuat jualan bersih sebanyak RM943.1 juta pada minggu lepas, selepas melakukan belian bersih selama sembilan minggu berturut-turut.

“Jualan bersih itu dibuat setiap hari pada minggu lepas,” katanya.

Dalam pada itu, laporan MIDF Research turut merujuk peranan peruncit tempatan yang mengekalkan aliran jualan bersih bagi minggu kelapan berturut-turut berjumlah RM112.2 juta pada minggu lepas.

“Dari segi penyertaan, jumlah purata dagangan harian menyaksikan peningkatan dalam kalangan semua kelas pelabur dengan pelabur asing mencatat peningkatan sebanyak 22.0 peratus manakala pelabur institusi dan peruncit tempatan naik masing-masing 16.7 peratus dan 6.7 peratus,” katanya.

Mengulas aliran di Asia, MIDF Research berkata dana asing kembali ke rantau itu dengan mencatat US$1.09 bilion pada minggu lepas selepas dua minggu melakukan jualan bersih, disokong oleh aktiviti belian ketara di Taiwan yang menjejaki aliran positf pergerakan saham-saham teknologi di Wall Street.

“Korea Selatan dan Malaysia merupakan dua negara yang menyaksikan belian bersih oleh rakyat asing manakala lima negara lain yang kami teliti pula mencatat aliran keluar bersih," katanya.

Semua pasaran ditutup pada Rabu lepas sempena cuti umum Hari Pekerja.

Bagi prestasi antarabangsa, MIDF Research berkata pasaran utama terus mempamerkan prestasi memberangsangkan pada minggu lepas apabila 16 daripada 20 indeks yang dipantau, mencatat keuntungan.

“Pasaran dengan prestasi teratas termasuk Hang Seng Hong Kong (4.67 peratus) dan diikuti oleh Nasdaq (1.43 peratus) serta Indeks Komposit Jakarta (1.40 peratus)," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan