SUKAN

KBS MASIH KENAL PASTI LOKASI SESUAI BINA VELODROM TERBUKA - HANNAH

04/05/2024 08:43 PM

SERI KEMBANGAN, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih mengenal pasti lokasi sesuai bagi membangunkan velodrom terbuka yang mudah diakses sebagai kegunaan awam untuk pelaburan jangka panjang pembangunan bakat muda di Malaysia. 

Menterinya Hannah Yeoh berkata ini kerana sukan berkenaan merupakan antara yang menyerlah serta menyumbang pingat di kejohanan dalam dan luar negara. 

“…untuk berbasikal trek ini apa yang saya nak usahakan sekarang adalah fasiliti di mana pembangunan bakat itu boleh berlaku. (Contohnya) sekarang (pelajar) di Lembah Klang tetapi velodrom di Nilai. 

“(Jadi) tetapi kalau pelajar sekolah sekarang di Lembah Klang mereka nak sertai sukan ini tak ada tempat nak pergi. Itu yang saya sedang usahakan dekat KBS untuk kita ada velodrom terbuka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Bina Badan Enrich 2024 di sini hari ini.

Pada 9 Mac lepas, KBS memaklumkan sudah memulakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meneliti kawasan sesuai bagi pembinaan velodrom terbuka untuk kegunaan awam. 

Sementara itu, Hannah berkata jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat mengenai pertimbangan kemasukan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam program Fast Track di bawah program berkenaan selepas layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Hannah berkata ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan John Beasley memuji potensi dimiliki pelumba berusia 21 tahun itu serta berharap kehadiran atlet muda menjadikan Malaysia tidak terlampau bergantung kepada kehebatan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang. 

Terdahulu, KBS memberi suntikan dana menerusi peruntukan menteri sebanyak RM20,000 kepada Kelab Bina Badan Enrich untuk terus mengangkat martabat sukan berkenaan di sekitar Lembah Klang. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan