AM

CABANG EKSEKUTIF HARUS PUTUSKAN UNTUK KELUARKAN PERKATAAN NEGERI DARIPADA DUN SARAWAK - SPEAKER 

04/05/2024 07:56 PM

KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Cabang eksekutif Sarawak harus memutuskan sama ada mengeluarkan perkataan ‘negeri’ daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata secara peribadi, beliau percaya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah wilayah dan bukan satu daripada 13 negeri maka perkataan itu harus digugurkan.

“Memandangkan kita adalah sebuah wilayah maka adalah logik perkataan ‘negeri’ digugurkan. Jadi Dewan Undangan Negeri Sarawak sepatutnya dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak kerana kita bukanlah sebuah negeri.

“Saya serahkan perkara ini kepada eksekutif (untuk membuat keputusan),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pramajlis Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sempena persidangan Dewan Undangan Negeri minggu depan.

Beliau diminta mengulas hantaran di laman Facebook oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada 21 April lepas yang menyatakan bahawa pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini, venue itu dinamakan sebagai ‘Dewan Undangan Sarawak’ dan bukannya 'Dewan Undangan Negeri Sarawak.’ 

Dr Sim berkata perubahan itu adalah untuk mengiktiraf Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia dan bukan hanya sebuah negeri.

Mohamad Asfia juga berkata sekiranya perubahan itu berlaku, beliau mencadangkan semua Ahli Dewan dan Speaker dikenali sebagai Ahli Dewan Sarawak dan Speaker Dewan Sarawak selain menolak penggunaan perkataan 'wilayah' kerana ia akan menurunkan status Sarawak.  

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan