EKONOMI

PINDAAN KECIL JAJARAN LRT MUTIARA TIDAK BERI KESAN BESAR KE ATAS EIA - MRT CORP

04/05/2024 06:05 PM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memberi jaminan pindaan kecil pada pelan asal projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang tidak memberi kesan besar kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata pindaan kecil itu melibatkan jajaran LRT iaitu cadangan melalui Jalan Gurdwara sebelum membelok ke Komtar dan seterusnya ke Penang Sentral. 

“Laluan asal jajaran ini melalui persisiran pantai dan tidak termasuk ke Penang Sentral. Tidak semua jajaran ditukar, perubahan hanya sedikit maka kerja-kerja pembinaan bagi jajaran lain yang tidak terlibat dalam perubahan ini boleh diteruskan pada hujung tahun ini dan sasaran siap kekal pada awal 2030.

“Pihak kami mengemukakan adendum kepada laporan EIA untuk mendapat kelulusan bagi perubahan kecil terhadap pelan tersebut,” katanya kepada media di reruai MRT Corp pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan jajaran itu akan dibuat secara berperingkat dan boleh dimulakan dengan bahagian yang telah mendapat kelulusan di bawah EIA tersebut, manakala kawasan yang terlibat dengan pindaan akan melalui proses mendapatkan kelulusan adendum terlebih dahulu.

Mohd Zarif berkata jajaran yang bakal menghubungkan kawasan pulau dengan Seberang Perai akan menggunakan laluan atas laut atas faktor kos.

Menurutnya stesen Komtar akan diintegrasi dengan dua laluan baharu bagi pembinaan masa depan iaitu laluan Air Itam dan Tanjung Bungah, manakala Penang Sentral bakal menjadi hab pengangkutan yang menggabungkan perkhidmatan feri, kereta api, rel dan bas. 

“Pihak kami juga akan melaksanakan sesi keterlibatan awam untuk projek ini tiga bulan akan datang,” katanya.

Mohd Zarif berkata MRT Corp akan bertemu dengan pemain industri di negeri ini bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor rel sekali gus meningkatkan keupayaan teknikal dalam kalangan pemain tempatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang turut hadir berharap rakyat bersama-sama menjayakan projek tersebut bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang. 

“Saya harap rakyat juga datang melawat ke reruai ini bagi mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan projek ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan