AM

KEMALAK GROUP JENGAH BIDANG AEROANGKASA, SEDIAKAN SATELIT PEMERHATIAN BUMI

04/05/2024 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Kemalak Group Sdn Bhd bakal mengorak langkah memasuki bidang aeroangkasa dengan menyediakan perkhidmatan Satelit Pemerhatian Bumi resolusi tinggi buat negara.

Pengurus Besar Kemalak Group Sdn Bhd Mej (B) Mohd Razi Kamis berkata ia masih di peringkat cadangan dan pihaknya akan bekerjasama dengan agensi luar negara bagi merealisasikan perkara itu.

“Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah mengeluarkan Request For Proposal pada awal tahun ini. Jadi, Kemalak telah menyatakan minat untuk menyertai cadangan itu. Kita akan bekerja dengan agensi di luar negara untuk melaksanakan projek itu.

“Satelit yang kita ada ketika ini ialah jenis komunikasi. Yang kita jual ini merupakan satelit pemerhatian yang berfungsi mengambil gambar resolusi tinggi,” katanya kepada Bernama.

Kemalak Group Sdn Bhd ditubuhkan pada 2008 dengan misi menyediakan maklumat teknikal peringkat atasan, produk, alatan dan khidmat nasihat operasi dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ketenteraan serta pembuatan dan perolehan pertahanan.

Kumpulan ini terdiri daripada Kemalak System, Kemalak Marine, Kemalak Aerospace, Kemalak Shield, Kemalak Property dan Kemalak International.

Mohd Razi berkata penyediaan perkhidmatan satelit ini akan menggunakan perkongsian awam – swasta yang bermaksud syarikat akan mengeluarkan belanja kos membina satelit dan pihak yang berminat boleh melanggan perkhidmatan satelit terbabit.

“Selama ini, kita memperoleh data satelit dengan membelinya dari negara luar. Jadi, hasrat kami ingin menyediakan perkhidmatan itu kepada rakyat Malaysia, bukan hanya kepada kerajaan. 

“Terbuka kepada semua termasuk agensi (kerajaan) untuk gunakan perkhidmatan. Namun ketika ini, cadangan masih dalam proses penyediaan. Kemalak akan bergerak ke arah aeroangkasa,” katanya.

Sementara itu, berhubung penyertaan Kemalak Group dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 bermula Isnin depan, Mohd Razi berkata kali ini pihaknya mempunyai reruai sendiri sebagai pempamer dengan mempunyai keluasan yang besar.

Mohd Razi berkata dalam DSA dan NATSEC 2024 itu nanti, Kemalak Group akan memperkenalkan produk baharu iaitu Portable Radio Frequency Detector Alpha P, buatan Korea Selatan yang berfungsi sebagai observation transmission.

“Sekiranya terdapat kebocoran maklumat ketika mesyuarat di dalam sesuatu kawasan, alat ini boleh mengesan kebocoran itu.

“Misalnya, apa yang dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat telah bocor. Kita dapat jejak siapa yang bocorkan dan kepada siapa maklumat terbabit diberikan. Kita boleh kesan dan sekat talian itu. Produk ini yang akan kita ketengahkan nanti. Belum ada lagi (peralatan sebegini) di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kemalak Marine Sdn Bhd Lt Kdr (B) Mohd Faizal Ab Aziz berkata pihaknya sedang dalam perancangan untuk memasarkan Light Armed Helicopter (LAH) kepada Tentera Darat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan