AM

Kajian Empirikal Pengasingan Kuasa Ag, Pendakwa Raya Diharap Selesai Tahun Ini - Azalina

17/05/2024 05:34 PM

KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berharap kajian empirikal pengasingan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dapat diselesaikan pada tahun ini.

Beliau berkata kajian itu telah dilakukan di Kanada awal bulan ini dan dijangka diteruskan di Australia pada Jun sebelum berakhir di United Kingdom, dengan kerjasama beberapa universiti.

"Kajian lebih mendalam dari segi negeri-negeri, perbandingan dalam negara Malaysia mungkin tahun 2025 sebab janji kami kepada Parlimen dua tahun... bagi mendapatkan laporan untuk diberikan kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk membuat penilaian," katanya ketika diminta mengulas perkembangan kajian itu selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Pada 8 Mei lepas, Azalina mengetuai delegasi Malaysia menjalankan kajian itu di Ottawa bagi mengenal pasti model yang sesuai untuk negara selain inisiatif untuk mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik.

Pada Ogos 2023, beliau memaklumkan kerajaan akan menjalankan kajian empirikal yang komprehensif dalam tempoh setahun sebelum memuktamad cadangan pengasingan kuasa AG dan Pendakwa Raya.

Azalina berkata kira-kira 19 undang-undang sedia ada dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi melaksanakan pengasingan kuasa itu.

Terdahulu, beliau melawat Muzium Kehakiman di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dan meninjau kerosakan kubah di premis itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan