DUNIA

MALAYSIA MAHU PERKUKUH HUBUNGAN ASEAN-INDIA

04/05/2024 01:22 PM

NEW DELHI, 4 Mei (Bernama) -- Malaysia menggesa untuk mengukuhkan hubungan ASEAN-India semasa pegawai kanan India dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara bertemu di New Delhi untuk mengkaji semula kerjasama antara kedua-dua pihak.

Ketua Pengarah bagi Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-India (AISOM) ke-26 yang diadakan pada 2 hingga 3 Mei.

Mesyuarat itu membincangkan pelbagai projek dan inisiatif dalam skop Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India.

Menurut Kementerian Luar, Malaysia menyokong peningkatan kerjasama dalam peralihan tenaga, perdagangan, memerangi keganasan, pendigitalan serta sains, teknologi dan inovasi.

Malaysia menekankan pendiriannya yang konsisten mengenai situasi di Palestin, terutamanya di Gaza, semasa para pegawai bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama.

Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan berkata persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN-India yang akan diadakan di Vientiane, Laos turut dibincangkan.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha (Timur) Kementerian Hal Ehwal Luar India, Jaideep Mazumdar dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Albert Chua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan