AM

ISU GANDAR: JPJ UMUM 600 UNIT CHERY OMODA 5 DIPANGGIL SEMULA

04/05/2024 12:17 AM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pemanggilan semula 600 unit kenderaan model Omoda 5 keluaran Chery berkuat kuasa hari ini, susulan insiden yang tular di media sosial pada 28 April lepas.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah memanggil Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd bagi menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu berkenaan demi memastikan keselamatan pemilik kenderaan serta pengguna jalan raya.

“Pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak syarikat bagi menempah slot pemeriksaan masing-masing atau pemilik kenderaan boleh walk-in ke mana-mana pusat servis berhampiran di seluruh negara.

“Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu ini akan digantikan, dengan semua kos akan ditanggung Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd,” menurut JPJ.

JPJ memaklumkan jabatan itu akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited untuk memastikan semua unit yang terlibat diperiksa, disahkan selamat serta proses penggantian gandar dilaksanakan bagi kenderaan yang terkesan.

 

Sehubungan itu, JPJ menasihatkan semua pemilik kenderaan model Omoda 5 untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

Pemilik kenderaan yang terlibat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Chery Malaysia di talian 03-2771 7070, menghubungi pusat jualan Chery Auto Malaysia yang terdekat atau melayari laman sesawang www.chery.my.

Baru-baru ini, seorang pemilik Omoda 5 keluaran Chery telah memuat naik mengenai kenderaan miliknya yang mengalami kerosakan di bahagian gandar belakang ketika sedang memandu dan telah mendapat maklum balas daripada Chery Auto Malaysia pada 30 April lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan