EKONOMI

BAKAL DISENARAI DI PASARAN ACE, UUE METERAI PERJANJIAN TAJA JAMIN DENGAN M&A SECURITIES 

03/05/2024 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- UUE Holdings Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah itu berkata IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 124.90 juta saham baharu dan penjualan 37.46 juta saham sedia ada.

"Daripada 124.90 juta saham terbitan awam, 30.42 juta akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, 40.59 juta kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

"Sebanyak 38.57 juta saham akan dikhaskan untuk tawaran awam persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 15.32 juta melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih," katanya.

Menurut perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin 71.0 juta saham terbitan awam.

Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk membiayai pembelian mesin dan peralatan seperti mesin penggerudian arah mendatar (HDD), lori dan jengkaut untuk menampung projek yang sedang berjalan dan masa depan, kata UUE.

"Syarikat  juga akan memperoleh mesin HDD maxi-rig, yang akan membolehkan kumpulan itu menerokai kerja HDD dasar laut dan mengembangkan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah sedia ada.

"Baki hasil kasar pula diperuntukkan untuk modal kerja am serta anggaran perbelanjaan penyenaraian berhubung IPO," katanya.

Pengarah Urusan UUE Datuk Kenny Ting berkata hasil daripada IPO itu akan memainkan peranan penting dalam memacu usaha pengembangan syarikat, membolehkannya meningkatkan dan memperluaskan perkhidmatan kepada pelanggan semasa dan bakal pelanggannya di seluruh Malaysia dan Singapura.

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan