EKONOMI

KEUNTUNGAN BERSIH SUKU PERTAMA 2024 WESTPORTS MENINGKAT KEPADA RM204.5 JUTA

02/05/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd (Westports) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023, meningkat kepada RM204.51 juta daripada RM183.59 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM543.15 juta daripada RM512.92 juta sebelumnya.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Westports berkata keuntungan selepas cukai (PAT) naik sebanyak 11 peratus kepada RM205 juta disumbangkan oleh hasil kontena yang tinggi.

Pengendali pelabuhan itu dalam satu kenyataan berasingan berkata syarikat tersebut meraih hasil  sebanyak RM543 juta dengan mengendalikan jumlah kontena yang tinggi sebanyak lima peratus daripada 2.67 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).

“Bagi segmen konvensional, syarikat mengendalikan kargo pukal berjumlah 2.76 juta tan,” katanya.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata perkembangan di laluan Laut Merah memberi pengaruh besar terhadap perkapalan kontena.

“Laluan perdagangan Asia-Eropah kami mencatatkan kuantiti yang rendah berikutan pelarasan awal apabila kapal memilih laluan yang lebih jauh mengelilingi Cape of Good Hope.

“Pada suku pertama, penggunaan terminal berdepan cabaran disebabkan gangguan jadual perkapalan dan pertambahan kapal. Bagaimanapun, kesan buruk itu dijangka berkurangan sebaik sahaja perkhidmatan diselaraskan,” katanya.

Beliau berkata Westports bakal meraikan ulang tahun ke-30 tahun ini dan akan memulakan program pengembangan terminal kontena Westports 2.

"Syarikat telah mengatur program nota jangka sederhana sukuk wakalah bernilai RM5 bilion untuk memudahkan keperluan pembiayaan.

“Westports komited untuk mengekalkan Pelabuhan Klang sebagai salah satu hab pindah kapal mega terbesar dan paling kompetitif di rantau ini dan sebagai pelabuhan pintu masuk utama ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan