AM

Jabatan Perdana Menteri (hal Ehwal Agama) Konsisten Tolak Faham Ekstrem, Melampau

18/05/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) --​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten dalam menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau, menurut menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Dalam kenyataan hari ini beliau mengajak semua rakyat untuk terus memperkukuhkan keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan.

“​Semua pihak dipohon supaya bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia untuk membuat siasatan terperinci. Mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pukul 2.45 pagi semalam, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek yang berumur 21 tahun.

Seorang lagi anggota pasukan keselamatan Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan berada dalam keadaan stabil.

Mohd Na’im turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq. 

“Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan