EKONOMI

PHB RAIH PENARAFAN KEMAMPANAN EMAS3 DARI RAM SUSTAINABILITY

02/05/2024 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) – Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), cabang operasi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, meraih Penarafan Kemampanan Emas3, menempatkannya dalam kalangan separuh teratas portfolio penarafan keseluruhan RAM Sustainability Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, PHB dan RAM Sustainability berkata penarafan itu menunjukkan komitmen PHB untuk menyepadukan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) korporat ke dalam pelaburan hartanah dan amalan operasinya, sambil pada masa yang sama mendapatkan keputusan kewangan yang baik untuk pemegang kepentingannya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Damshal Awang Damit berkata prestasi kemampanan kukuh PHB mencerminkan kejayaan kepada usaha-usaha ESG syarikat yang konsisten.

Usaha yang dilakukan itu meletakkan asas bagi portfolio hartanah untuk mencatatkan prestasi yang baik dalam jangka masa panjang, katanya.

“Memandangkan ESG menjadi lebih penting untuk mengurus kewangan dan risiko, PHB berusaha bagi mencapai keseimbangan yang baik di antara penggunaan ESG dan nilai ekonomi positif yang dibawanya untuk penyewa-penyewa kami dan pelabur-pelabur Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),” tambahnya.

Menurut Mohamad Damshal, latihan penarafan kemampanan oleh RAM Sustainability menyediakan garis asas untuk PHB menyusun strategi ESG syarikat ke hadapan.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami bercadang untuk menutup jurang keperluan pemantauan  dan pengurusan rantaian bekalan Skop 3 serta menambah baik kelengkapan pengumpulan data kami.

"Kami menjangkakan segala usaha ini akan meletakkan PHB dalam kalangan 10 peratus teratas bagi kumpulan setaranya dan seterusnya mencatatkan hasil kewangan dan operasi yang positif," kata beliau.

PHB bekerjasama rapat dengan pengurus-pengurus hartanah dan mengamalkan pengurusan Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bersepadu, disokong oleh pensijilan International Organization for Standardization (ISO).

Dengan visi untuk meningkatkan pengawasan alam sekitar, PHB menyasarkan peningkatan portfolio bangunan hijaunya daripada 28 peratus kepada 50 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang, disokong oleh dasar dan rangka kerja ESG.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan