EKONOMI

Anwar-wong Boleh Jadi Pelopor Bangun Standard Esg Serantau Di Asia Tenggara - penganalisis

15/05/2024 03:49 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kekuatan Malaysia dan Singapura dalam mengekalkan kemampanan harus dimanfaatkan untuk mempelopori standard penanda aras serantau bagi memacu perubahan penting di seluruh Asia Tenggara.

Penganalisis di Institut Strategi & Kepimpinan Asia (ASLI) Anas Hayyan percaya Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong, boleh memulakannya dengan mewujudkan dan memperjuangkan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam ASEAN, dengan memanfaatkan inisiatif padu yang dipertimbangkan oleh kedua-dua negara.

“Bergandingan bersama, Singapura dan Malaysia berkedudukan baik untuk menggerakkkan agenda kemampanan mereka dan menetapkan duluan bagi kerjasama inisiatif hijau. 

“Perkongsian ini boleh menyokong potensi usaha sama untuk bukan sahaja meningkatkan hubungan dua hala tetapi juga menyumbang kepada kepada matlamat alam sekitar global,” katanya kepada Bernama.

Anas berkata ekonomi hijau menyediakan pelbagai peluang kerjasama untuk diteroka dengan lebih jauh lagi oleh kedua-dua negara.

Beliau berkata memorandum persefahaman baru-baru ini yang dimeterai antara Malaysia-Singapura menyediakan platform bagi usaha sama untuk membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik dan meneroka teknologi hijau seperti pemerangkapan hidrogen dan karbon.

“Inisiatif ini penting untuk memanfaatkan keupayaan teknologi dan kewangan Singapura serta limpahan sumber asli dan kawasan geografi Malaysia yang besar.

"Sinergi ini bukan sahaja memudahkan penggunaan teknologi mampan tetapi juga menyokong integrasinya ke dalam ekonomi serantau yang lebih meluas," katanya.

Anas berkata memandangkan Wong telah memegang jawatan sebagai menteri kewangan sejak 2021 dan timbalan perdana menteri sejak 2022, pendekatannya sebagai Perdana Menteri dijangka bercirikan kesinambungan dan bukannya perubahan drastik, untuk memastikan asas yang stabil bagi kerjasama ekonomi seterusnya.

“Beliau akan meneruskan dasar ekonomi yang didukung oleh perdana menteri sebelum ini, yang mana beliau turut terlibat membincangkannya, yang jika mengikut kebiasaannya akan menyokong hubungan perdagangan yang kukuh antara Singapura dan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi yang sangat strategik, disenaraikan sebagai rakan dagangan kedua terbesar antara satu sama lain secara konsisten dalam tempoh sedekad lalu.

Kebergantungan ekonomi antara satu sama lain jelas dapat dilihat menerusi kuantiti perdagangan yang besar berjumlah US$79.6 bilion pada 2023 dan US$83.53 bilion pada 2022.

“Perkongsian ini memainkan peranan penting dalam strategi ekonomi yang lebih luas bagi setiap negara, yang diterjemahkan sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain di rantau ASEAN, memudahkan perdagangan rentas sempadan, yang mana penting untuk kestabilan dan pertumbuhan serantau,” kata Anas.

Beliau berkata ketika Malaysia bersiap sedia menggalas Pengerusian ASEAN pada 2025, hubungan strategik dengan Singapura boleh memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ini, memanfaatkan hubungan ekonomi yang telah terjalin kukuh antara kedua-duanya dan status sebagai hab perdagangan utama.

“Kedua-dua negara boleh meningkatkan daya tarikan mereka kepada pelabur yang mencari kestabilan dan peluang pertumbuhan di Asia Tenggara. Kerjasama ini berpotensi meningkatkan ‘pengaruh ekonomi’ mereka dalam ASEAN, dalam memacu pembangunan serantau yang lebih bersepadu dan mampan,” katanya.

Antara elemen penting dalam kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura ialah Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura, yang diwujudkan untuk merancakkan aktiviti ekonomi dengan menawarkan insentif perniagaan yang menarik, seperti pengurangan kadar cukai dan proses kemasukan yang dipermudahkan untuk pekerja mahir.

“Kunci kejayaannya ialah pembangunan infrastruktur yang bertujuan memastikan pergerakan lancar antara kedua-dua negara, yang bukan sahaja memudahkan akses kepada perniagaan dan pelabur tetapi juga meningkatkan lagi integrasi ekonomi dan daya tarikan kedua-dua negara. 

“Inisiatif strategik ini menggariskan komitmen bersama untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan juga meningkatkan pengaruh mereka dalam ASEAN,” katanya sebagai kesimpulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan