AM

PELANTIKAN SULTAN NAZRIN TERUS PERKUKUH KEDUDUKAN MKI SELARAS HAL PENTADBIRAN ISLAM

01/05/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pelantikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Pengerusi  Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan terus memperkukuh kedudukan MKI dalam melaksanakan fungsinya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang merafak sembah dan ucapan tahniah kepada Sultan Nazrin berkata MKI menjalankan fungsi berpandukan Peraturan-Peraturan MKI 2022 dalam menyelaras hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam.

"Seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar diberikan petunjuk serta pedoman kepada Sultan Perak untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, antara fungsi MKI adalah untuk membincang dan memutuskan perkara-perkara berkaitan aspek pengurusan hal ehwal Islam, perundangan Islam dan pendidikan agama Islam. 

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan pelantikan Sultan Nazrin sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Mac lepas hingga 8 Mac 2026.

Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 bagi menggantikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun, bermula 10 Mac 2022.

Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 menetapkan Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun serta boleh diperbaharu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan