EKONOMI

MOKHZANI LETAK JAWATAN PENGERUSI MAXIS, HAMIDAH DILANTIK PENGERUSI SEMENTARA

17/05/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Maxis Bhd hari ini mengumumkan bahawa Pengerusinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir akan meletak jawatan berkuat kuasa 30 Jun, 2024.

Sehubungan itu, Pengarah Bebas, Datuk Hamidah Naziadin dilantik sebagai pengerusi sementara berkuat kuasa 1 Julai, 2024.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Maxis berkata Mokhzani, 63, berkhidmat sebagai pengarah sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 2009 dan sebagai pengerusi lembaga pengarah sejak 22 April, 2021.

Syarikat telekomunikasi itu berkata lembaga pengarah kini sedang menilai calon-calon berpotensi dan menjangkakan untuk menyelesaikan proses tersebut dan membuat pengumuman mengenai pengerusi baharu pada masa yang sesuai.

Hamidah, 60, yang dilantik sebagai Pengarah Maxis pada 2014, merupakan pemimpin bidang sumber manusia yang berpengalaman dan disegani dalam dunia korporat Malaysia.

“Beliau kini berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa pencalonan dan imbuhan serta ahli jawatankuasa audit dan risiko,” kata syarikat berkenaan.

Sementara itu, Mokhzani melahirkan penghargaan kerana berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Maxis dan sebagai pengerusi sejak beberapa tahun lalu.

“Sepanjang perkhidmatan saya, Maxis perlu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi dan transformasi ekonomi yang pesat.

“Walaupun berdepan banyak cabaran, kami terus tekun melayani keperluan pelanggan kami dan semua pihak berkepentingan yang semakin berkembang dalam dunia yang semakin terhubung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan