EKONOMI

PELAN SEMIKONDUKTOR TEPAT PADA MASANYA, PERKUKUH KEDUDUKAN MALAYSIA DI BARISAN HADAPAN RANTAIAN BEKALAN GLOBAL

01/05/2024 12:37 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pembentukan pelan semikonduktor yang komprehensif adalah tepat pada masanya untuk Malaysia menjamin kedudukan di barisan hadapan rantaian bekalan global, kata Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Loo Lee Lian.

Beliau berkata elemen alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) seperti pelepasan karbon sifar bersih serta tenaga lestari dan air, perlu dipatuhi berdasarkan pelan strategik itu.

Objektif yang jelas dan pencapaian penting perlu dimasukkan ke dalam pelan strategik itu kerana perkara itu penting untuk memastikan pelaksanaan dan hasilnya mengikuti standard antarabangsa sedia ada, katanya.

“Malaysia, khususnya Pulau Pinang, berkedudukan baik untuk menarik peserta industri semikonduktor memandangkan keneutralan negara ini semasa perang perdagangan Amerika Syarikat-China, yang membolehkan negara menjadi hos syarikat semikonduktor dari AS dan China serta negara lain, supaya mereka boleh melabur dan beroperasi dalam negara ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kejayaan pelan strategik semikonduktor itu bergantung kepada ketersediaan bakat dan meliputi pelan tindakan bakat kebangsaan untuk memenuhi strategi modal insan yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Loo berkata visi pelan itu perlu menumpukan usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan tenaga kerja dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menyokong perkembangan pesat industri semikonduktor.

“Justeru, pelan itu perlu menangani isu yang dihadapi dalam ketersediaan bakat dan kesediaan tenaga kerja dalam STEM seperti ketakpadanan kemahiran, aliran keluar kepakaran, ketersediaan program penambahan kemahiran dan kemahiran baharu, proses pengambilan pekerja yang ketat untuk ekspatriat dan kerelevanan sukatan pelajaran di universiti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai yang senada dengan Loo berkata pelan itu perlu memberi tumpuan kepada usaha memupuk perusahaan tempatan dan meningkatkan daya saing pasaran mereka di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan satu rangka kerja yang kukuh bagi penambahan kemahiran dan penyesuaian semula tenaga kerja Malaysia, memastikan tenaga kerja dapat memenuhi permintaan industri semikonduktor yang canggih.

“Tumpuan kepada pendidikan ini bertujuan memberi kemahiran yang diperlukan kepada rakyat Malaysia untuk memacu inovasi dan mengekalkan kelebihan daya saing negara,” katanya.

Wong juga berkata kerajaan juga diharap dapat menambah baik jaringan infrastruktur, satu langkah yang akan menyokong keperluan teknologi tinggi industri semikonduktor dan memastikan pengembangan perniagaan yang lancar dalam sektor tersebut.

Ini, katanya, berkemungkinan akan melibatkan penambahbaikan kesalinghubungan dan akses digital bagi memastikan operasi yang cekap dan tidak terganggu yang penting untuk pembangunan dan pembuatan berteknologi tinggi.

“Tumpuan strategik kerajaan terhadap pembangunan syarikat, pendidikan tenaga kerja dan penambahbaikan infrastruktur meletakkan Malaysia di landasan yang baik untuk mencapai hasil dan eksport tinggi bagi sektor tersebut,” kata Wong.

Pada 16 April, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan strategik semikonduktor akan merangkumi pakej insentif yang lebih menarik untuk meningkatkan kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi, khususnya untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti dalam industri tersebut di Malaysia.

Beliau berkata ini penting untuk menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa memindahkan atau membangunkan kilang pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi mereka di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelan strategik semikonduktor itu sejajar dengan inisiatif di bawah NIMP 2030.

Malaysia yang disenaraikan di kedudukan keenam dunia bagi eksport semikonduktor dilaporkan menguasai 7.0 peratus bahagian pasaran global.

Sektor semikonduktor tempatan mempamerkan daya tahannya tahun lepas apabila eksport susut hanya 3.0 peratus daripada RM595 bilion pada 2022 apabila jualan industri global jatuh 8.2 peratus.

Hasil sektor semikonduktor global diunjurkan meningkat kepada US$1 trilion (US$1=RM4.76) menjelang 2030, berbanding US$575 bilion pada ketika ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan