DUNIA

LELAKI WARGA EMAS ENGLAND MENINGGAL DUNIA KERANA SERANGAN JANTUNG DALAM PENERBANGAN SQ321

22/05/2024 01:03 AM

BANGKOK, 21 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dari England disahkan sebagai satu-satunya mangsa yang terkorban dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (BKK) pada petang Selasa.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn berkata lelaki berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di dalam pesawat penerbangan SQ321.

"Lelaki berkenaan meninggal dunia di dalam pesawat akibat serangan jantung manakala tujuh penumpang yang mengalami kecederaan parah telah dimasukkan ke hospital," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Pesawat SIA penerbangan SQ321 dari Heathrow, England ke Changi, Singapura, terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada pukul 3.51 petang, dipercayai disebabkan oleh cuaca buruk dan gelora udara semasa melalui ruang udara Thailand.

Kittipong berkata 16 penumpang yang mengalami kecederaan ringan telah dimasukkan ke hospital di Bangkok manakala 32 penumpang lain termasuk sembilan kru SIA juga dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.

"Hanya 14 penumpang dari SQ321 kini menerima rawatan di kawasan menunggu BKK sementara menanti penerbangan ke Singapura malam ini," katanya.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Thailand sedang bekerjasama dengan Singapura bagi memindahkan semua penumpang untuk kembali ke Singapura.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan