EKONOMI

SCHNEIDER ELECTRIC LANCAR HAB PENGECASAN EV AWAM PERTAMA DI PETALING JAYA

30/04/2024 10:00 PM

PETALING JAYA, 30 April (Bernama) -- Schneider Electric hari ini melancarkan EVlink Pro DC baharu, pengecas EV pantas arus terus (DC) 180kilowatt (kW) dan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam pertamanya di Petaling Jaya.

Inisiatif ini adalah dengan kerjasama JusEV, pengendali rangkaian pengecasan tempatan yang mengkhusus dalam peralatan bekalan kenderaan elektrik (EVSE) untuk segmen rumah, awam dan komersial.

Schneider Electric dan JusEV turut memeterai perjanjian untuk memasang lebih 100 pengecas, dengan 10 peratus untuk pengecas pantas DC, di kedua-dua bangunan persendirian dan komersialnya menjelang 2024.

Hab pengecasan EV baharu yang terletak di Plaza 33 akan dikendalikan oleh JusEV.

Presiden Schneider Electric untuk Malaysia Eugene Quah berkata dengan jangkaan hampir 90 peratus pengecasan EV di dalam bangunan, pelancaran hab pengecasan EV awam pertama Schneider bersama rakan kongsi mereka JusEV, menandakan satu langkah ke arah pembangunan infrastruktur pengangkutan mampan di Petaling Jaya.

“Di Schneider Electric, kami komited untuk menyumbang kepada usaha penyahkarbonan sektor mobiliti Malaysia. Komitmen kami adalah untuk memudahkan penggunaan EV yang meluas melalui penyelesaian pengecasan yang boleh diakses dan cekap.

“Kami yakin usaha strategik ini adalah selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara(NETR), yang bertujuan mewujudkan 10,000 titik pengecasan EV di seluruh negara menjelang 2025,” kata Quah ketika berucap pada majlis pelancaran itu.

Beliau berkata EVlink Pro DC Schnieder Electric sesuai untuk digunakan di bangunan komersial, depoh pasukan dan premis industri.

“Pengintegrasiannya yang lancar dengan penyelesaian kecekapan tenaga Schneider Electric memastikan pemilik bangunan dan pengendali pasukan mendapat kebolehlihatan, kawalan dan kecekapan tenaga yang lebih baik.

“Pengecas itu turut disusuli dengan perkhidmatan sokongan daripada rangkaian juruteknik mahir di seluruh dunia untuk memastikan operasi dan penyelenggaraan yang optimum bagi infrastruktur EV. EVlink Pro DC memudahkan penyiapan 80 peratus pengecasan dalam tempoh 20 minit,” katanya.

Pengarah Urusan JusEV Charging Network Jason Wong berkata kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam misi syarikat untuk memacu pertumbuhan dalam industri EV.

Sebagai pemasang EVLink pertama yang diluluskan untuk Schneider Electric, JusEV gembira untuk merintis kerjasama dalam memacu kadar penerimagunaan EV di Malaysia, katanya.

“Dengan sinergi kepakaran dan sumber kami, kami menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi individu dan perniagaan untuk beralih ke arah penyelesaian pengangkutan yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Plaza 33 Tan Kok Leong berkata kerjasama antara Schneider Electric dan JusEV sejajar dengan komitmen syarikat untuk terus berada di hadapan dalam memenuhi keperluan penyewa dan pelanggan mereka yang semakin berkembang.

“Kami mengakui permintaan yang semakin meningkat untuk EV dan menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian yang mudah dan mampan bagi menyokong peralihan kepada pilihan pengangkutan yang lebih bersih. Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan syarikat yang memandang ke depan seperti Schneider Electric untuk memacu visi bersama kami demi masa depan lebih mesra alam,” katanya.

EVlink Pro DC menyediakan pilihan tenaga berskala antara 120kW hingga 150kW dan 180kW, membolehkan pengecasan serentak dinamik dua kenderaan untuk mengoptimumkan kecekapan penggunaan tenaga.

Ia diintegrasikan dengan Pakar Pengecasan EV EcoStruxure, sistem pengurusan beban untuk memperuntukkan tenaga daripada bangunan ke stesen pengecasan EV dengan bijak dalam masa nyata yang memastikan kecekapan maksimum di samping menambah baik masa hidup dan mengawal keluaran pengecas secara dinamik, menangani apa-apa kebimbangan mengenai beban lebih daripada pemilik EV.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan