EKONOMI

PEMBANGUNAN PKNS SQ HIDUPKAN SEMULA PUSAT BANDAR RAYA SHAH ALAM - AMIRUDIN

30/04/2024 06:56 PM

SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- Pembangunan projek PKNS SQ di Seksyen 14, di sini bermula hujung tahun ini mampu merancakkan ekonomi dan 'menghidupkan semula' aktiviti di pusat bandar Shah Alam, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata pembangunan bagi projek meremajakan bandar Shah Alam bernilai RM2 bilion yang dibangunkan oleh PKNS dirangka bagi merancakkan aktiviti dan kegiatan ekonomi terutamanya selepas pukul 9 malam.

Beliau berkata sebagai ibu negeri Selangor, Bandar Raya Shah Alam perlu 'hidup' dengan pelbagai aktiviti selepas waktu malam seperti yang boleh disaksikan di beberapa kawasan lain, antaranya di Seksyen 2, 7, 13 dan 16.

"Tujuan pembangunan projek ini di Seksyen 14 adalah untuk kita menghidupkan semula Bandar Raya Shah Alam dan kawasan sekitarnya yang dilihat 'mati' selepas 9 malam. 

“Tidak ada pusat bandar mati selepas 9 malam. Sebab itu kita akan hidupkan dan beri nyawa baharu kepada pembangunan dan perancangan kawasan ini melalui projek tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas.

Sebelum ini, Mahmud dilaporkan berkata pembangunan bagi projek meremajakan bandar di Shah Alam dijangka dimulakan di kawasan berhadapan stesen transit aliran ringan 3 (LRT 3) Dato Menteri dengan PKNS merancang untuk menambah baik bangunan di sekitar kawasan berkenaan. 

Menurutnya projek itu yang akan dilaksanakan di sekitar PKNS SQ akan melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 antaranya Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall serta beberapa plot berhampiran dengan stesen LRT 3 Dato Menteri.

Terdahulu, Majlis Jalinan Aidilfitri 2024 yang merupakan acara tahunan PKNS bagi meraikan dan menghargai sokongan berterusan daripada rakan-rakan korporat dan pihak berkepentingan dihadiri oleh 3,000 tetamu meliputi rakan strategik seperti perbankan, hartanah, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan-jabatan kerajaan dan rakan-rakan media.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan