EKONOMI

MAHB, PLUS KONGSI PERJALANAN TRANSFORMASI DIGITAL DI KONGRES APAC HUAWEI 2024

30/04/2024 03:36 PM

Daripada Abdul Hamid A Rahman

BANGKOK, 30 April (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berkongsi perjalanan transformasi digital mereka untuk menjadi lebih celik teknologi dan berinspirasi bagi menerajui penggunaan digital dalam operasi mereka di Kongres Digital dan Pintar APAC 2024, yang berlangsung di Bangkok dari 29 hingga 30 April, 2024.

Pengurus Kanan Pengurusan Infrastruktur MAHB Mardiana Azura Mahidin berkata pengendali lapangan terbang itu mendapat inspirasi untuk menjadi lapangan terbang digital bersepadu sepenuhnya.

Beliau berkata sektor lapangan terbang adalah perniagaan yang unik, yang mana terdapat pelbagai pihak berkepentingan terdiri daripada pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, pengendali darat, imigresen, kastam, penyewa runcit dan lain-lain, yang bekerja di tempat yang sama.

“Oleh itu, faktor kejayaan utama bagi transformasi digital di lapangan terbang ialah kerjasama dalam kalangan komuniti lapangan terbang.

"Dengan kata lain, transformasi digital khususnya dalam sektor lapangan terbang dan penerbangan bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun anda kaya, pihak-pihak berkaitan dan masyarakat masih perlu bergabung tenaga untuk memastikan kejayaannya, baik dari segi pelaksanaan mahupun penerimaan," katanya pada persidangan itu.

Mardiana Azura berkata salah satu caranya ialah membangunkan program pendigitalan bersama yang mana masyarakat boleh bekerjasama ke arah matlamat yang sama.

"Pembangunan infrastruktur dan hab secara bersama akan membantu komuniti lapangan terbang memanfaatkan inisiatif dan pelaburan masing-masing yang akan membawa kepada penggunaan dan pelaksanaan lebih pantas, dan mungkin pada kos yang lebih rendah," katanya.

Beliau berkata salah satu trend utama dalam industri penerbangan global ialah komunitinya iaitu pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, pengendali darat dan kerajaan, telah mempercepatkan penggunaan proses secara tanpa sentuh dan layan diri melalui biometrik akibat daripada pandemik.

"Visi kami ialah ke arah menghubungkan lapangan terbang digital untuk memberikan penumpang pengalaman yang lancar di setiap titik sentuhan, dari rumah, di dalam terminal sehinggalah penumpang selamat berlepas," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Studio Inisiatif Digital PLUS, Vincent Leo berkata syarikat pengendali lebuh raya itu menguruskan aliran trafik di bandar dan pinggir bandar dan menyasar untuk menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang cekap, selamat dan moden.

"Kunci kepada operasi kami ialah memantau kemas kini trafik masa nyata melalui rangkaian dan aplikasi mudah alih kami, yang meningkatkan pengalaman pengguna.

"Rangkaian kami dahulunya bergantung kepada pautan sandaran dengan lebar jalur yang terhad, tetapi sejak itu telah dinaik taraf untuk menampung permintaan perkhidmatan seperti pembayaran RFID, yang mana ia penting untuk mengekalkan hasil kami," katanya pada persidangan berkenaan.

Beliau berkata keselamatan telah menjadi bidang yang membimbangkan kerana saiz rangkaian syarikat itu yang luas, menjadikannya terdedah kepada serangan siber.

"Tahun lepas, kami bekerjasama dengan Huawei untuk melaksanakan penyelesaian tersuai termasuk menaik taraf rangkaian lebar jalur tinggi dan menyepadukan kedua-dua penyelesaian yang berwayar dan tanpa wayar.

"Pada masa hadapan, kami memberi tumpuan untuk menambah baik pemantauan trafik kami dengan ketersambungan yang stabil dan pengurusan rangkaian terpadu, beralih kepada kestabilan rangkaian yang lebih dipertingkatkan," tambahnya.

Sementara itu, dalam sesi meja bulat media, Presiden Kumpulan Perniagaan Perusahaan Huawei Asia Pasifik Nicholas Ma berkata pihaknya sangat teruja untuk melibatkan diri dengan idea pintar dalam industri untuk meneroka laluan ke arah pintar digital.

"Saya harap pandangan dan idea daripada persidangan ini telah memberi inspirasi kepada anda, dan anda boleh membawa idea-idea inovatif ini kembali kepada komuniti anda.

"Sebagai yang pertama di Asia Tenggara yang bekerjasama dengan lapangan terbang, menjadi rakan kongsi dengan MAHB, kami telah meningkatkan infrastruktur di lapangan terbang dan melajukan rangkaian untuk menyokong lapangan terbang yang bersambung sepenuhnya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata Huawei berkongsi pencapaian ini dengan hampir 10,000 syarikat dan rakan kongsi awan di seluruh Asia Pasifik, bersama rakan kongsi ekosistem.

"Secara bersama-sama, kami menerangi jalan untuk transformasi industri yang mendalam.

"Komitmen kami adalah jelas iaitu untuk terus menerajui transformasi digital, berterusan membina jambatan dengan rakan kongsi kami, dan untuk terus memperkasakan komuniti di seluruh rantau ini," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan