AM

PENSTRUKTURAN SEMULA KEPENTINGAN DALAM MAHB BANTU TINGKATKAN KECEKAPAN - LOKE

17/05/2024 04:50 PM

PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Cadangan penstrukturan semula pegangan dalam ​​Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan membuka ruang untuk syarikat itu meningkatkan kecekapan dengan membuat lebih banyak keputusan strategik dengan cepat selain memudah cara pelaksanaan hala tujunya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong tindakan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengenai penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB itu.

“Itu adalah keputusan Khazanah (bagi cadangan itu), bukan keputusan MOT. Mereka ambil keputusan untuk membeli kepentingan MAHB daripada pasaran saham, sudah tentu bagi MOT kita selari dan seiring dengan tindakan dan keputusan Khazanah kerana ini keputusan yang dibuat oleh mereka.

“Jadi apabila dibawa sebagai satu entiti swasta di bawah (majoriti kepentingan) Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sebagai aset strategik kerajaan dan negara, maka saya yakin pelbagai keputusan strategik dapat dilaksana dengan cepat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah penstrukturan (semula kepentingan dalam) MAHB serta dakwaan bahawa Khazanah menjual syarikat itu kepada pihak luar.

Pada Rabu lepas, Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya (konsortium) mengumumkan tawaran suka rela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium berkenaan, pada harga tawaran RM11.00 sesaham.

Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia -- Khazanah melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd, serta KWSP.

Pemegang saham konsortium itu juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), antara pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Harga tawaran sebanyak RM11.00 itu mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion.

Sehingga 14 Mei, 2024, konsortium dan syarikat induk masing-masing secara agregat memiliki 41.1 peratus saham MAHB yang diterbitkan.

Apabila tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, para pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB manakala ADIA dan GIP akan memegang baki 30 peratus saham.

Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad bahawa kerajaan menjual sebahagian saham MAHB kepada syarikat asing, Loke menegaskan perkara itu adalah tidak benar.

“Maklumat dia salah, dia kata kita jual, mana ada kita jual, Khazanah tidak menjual MAHB, sebaliknya melalui langkah ini, Khazanah akan meningkatkan lagi pegangannya dalam MAHB.

“Andaian dia bahawa kita jual (MAHB), langkah ini tidak bermaksud Khazanah menjual pegangan mereka dalam MAHB sebaliknya Khazanah dan KWSP meningkatkan lagi pegangan mereka dalam MAHB,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan