EKONOMI

CIMB GROUP CAPAI SASARAN FORWARD23+ WALAUPUN BERDEPAN CABARAN LUAR

29/04/2024 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd berjaya mencapai sasaran Forward23+ biarpun dalam persekitaran luaran yang mencabar, sekali gus mengesahkan lagi komitmennya untuk muncul sebagai peneraju fokus bank di Asean, kata Pengerusi Datuk Mohd Nasir Ahmad.

Bercakap pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-67 yang diadakan secara maya dengan pemegang saham hari ini, beliau berkata seiring dengan pelbagai cabaran yang melanda industri perbankan pada 2023, CIMB sebaliknya mencatat fasa menarik apabila pelan strategik Forward23+ terus meraih momentum kukuh.

“Bagi tahun kedua berturut-turut, kami berjaya mencapai sukuan teratas dalam industri perbankan global menerusi Penilaian Kelestarian Korporat S&P Global yang membolehkan kami meraih sasaran Forward23+ dua tahun lebih awal daripada dirancangkan.

“Dalam kalangan 400 institusi kewangan antarabangsa, CIMB berada di tempat ketujuh dunia dalam Penanda Aras Sistem Kewangan 2023.

“Pengiktirafan sedemikian hanya mengukuhkan lagi agenda kelestarian dan kepimpinan kami yang berterusan ketika berusaha untuk mencatat pertumbuhan mampan bagi membuka kemungkinan dan peluang baharu bagi kemajuan masa depan,” katanya dalam kenyataan yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini.  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad pula menyifatkan bank itu meraih kemajuan ketara di bawah pelan strategik Forward23+, malah di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang merentasi metriks keuntungan ditetapkan di bawah pelan itu pada empat tahun lepas.

“Dalam memasuki tahun akhir Forward23+, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan akaun simpanan akaun semasa (CASA) dan deposit dengan penekanan terhadap pengurusan lembaran imbangan yang seimbang bagi meningkatkan margin faedah bersih di peringkat serantau.

“Selain itu, kami juga merancang untuk untuk mengekalkan pertumbuhan pendapatan bukan faedah melalui pengurusan kekayaan dan segmen mewah serta meneruskan disiplin kos dan meningkatkan kualiti aset untuk mencapai sasaran 2024,” katanya. 

CIMB Group juga menyaksikan momentum positif berterusan pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (FY2023), dipacu oleh prestasi asas yang kukuh dan merentasi semua segmen perniagaan dan lokasi.

Bagi tempoh tiga tahun lepas, kumpulan mencapai kewangan mampan sebanyak RM86.2 bilion secara terkumpul di bawah Rangka Kerja Hijau, Sosial, Produk dan Perkhidmatan Impak Mampan (GSSIPS) Kumpulan.

Malah, ini menjadikannya makin hampir kepada sasaran kewangan mampan yang disemak semula sebanyak RM100 bilion menjelang 2024 atau meningkat tiga kali ganda daripada sasaran awal sebanyak RM30 bilion yang diumumkan pada 2021.

Dalam pada itu, semua 10 resolusi yang dibentangkan di AGM itu telah diluluskan oleh pemegang saham manakala penyata kewangan diaudit bagi tahun kewangan 2023, turut diterima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan