AM

KARNIVAL KEBUDAYAAN DURIN RANCAKKAN EKONOMI, PELANCONGAN SETEMPAT

29/04/2024 03:12 PM

SIBU, 29 April (Bernama) -- Kehadiran ribuan pengunjung bagi menyaksikan pelbagai acara menarik di tapak Karnival Kebudayaan Durin 2024 berjaya merancakkan lagi ekonomi serta sektor pelancongan setempat di kawasan itu.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari dari 26 hingga 28 April itu merupakan acara tahunan anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) diadakan di pekan Durin, kira-kira 43 kilometer dari pusat bandar Sibu.

“Pada hari perasmian semalam tidak kurang 4,000 pengunjung telah hadir ke tapak karnival untuk menyaksikan pelbagai acara yang menarik,” kata Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai pada majlis penangguhan karnival berkenaan malam tadi.

MDLBS percaya pihaknya telah berjaya mencapai sasaran menjadikan karnival ini sebagai platform bagi meningkatkan dan merancakkan ekonomi setempat serta sektor pelancongan tempatan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Sarawak serta peserta acara perlumbaan bot kawalan jauh dari Thailand, Brunei, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, acara regata mini diadakan pada sebelah siang dan Simfoni Batang Rajang pada waktu malam yang diadakan pada hari pertama karnival telah menarik perhatian ribuan pengunjung ke tapak karnival.

Karnival itu juga katanya, berjaya menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam suasana aman dan damai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan