KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melabur RM37 juta dalam Mizou Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat Malaysia yang mengkhusus dalam pembangunan jentera perindustrian untuk industri minyak sawit huluan.
Ini merupakan pelaburan kedua Ekuinas di bawah Dana Asas yang berjumlah RM100 juta, menyasarkan syarikat-syarikat bumiputera di pasaran pertengahan dengan pertumbuhan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata Mizou menawarkan penyelesaian inovatif khusus untuk industri minyak sawit huluan, dengan potensi pengembangan ke sektor-sektor pertanian lain.
"Kami amat menghargai visi, keupayaan dan keazaman Mizou untuk meningkatkan produktiviti dalam rantaian nilai perladangan kelapa sawit huluan dan berbangga untuk bekerjasama dengan mereka dalam usaha ini," katanya dalam satu kenyataan.
Syed Yasir menyatakan trend industri ke arah mekanisasi, didorong oleh peningkatan dalam permintaan daripada pemain-pemain tempatan dan serantau yang ingin meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran.
Beliau berkata kejayaan mengkomersialkan traktor-traktor Mizou dan sokongan daripada pemain perladangan utama menunjukkan daya maju produk dan menjanjikan prospek yang cerah.
Pengarah Urusan Mizou Shamshuri Abdul Majid berkata pelaburan Ekuinas akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pembekal utama jentera perladangan kelapa sawit yang sesuai untuk pelbagai rupa bentuk bumi.
“Memandangkan keperluan sektor minyak sawit yang semakin berkembang, kami menjangkakan mendapat manfaat daripada penggunaan peralatan berjentera yang semakin meningkat oleh pemain-pemain perladangan tempatan dan serantau,” tambahnya.
Sejak penubuhannya pada tahun 2001, Mizou telah membangunkan dan mengkomersialkan 11 varian traktor khusus yang direka untuk memungut Tandan Buah Segar di ladang.
Traktor-traktor itu disesuaikan untuk dikendalikan di pelbagai rupa bentuk ladang kelapa sawit, termasuk tanah gambut, kawasan berteres dan berbukit, serta tanah rata dan beralun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial