EKONOMI

TUNKU ISKANDAR MUNCUL SEBAGAI PEMEGANG SAHAM UTAMA TWO OFFSHORE MARINE

29/04/2024 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah muncul sebagai pemegang saham utama Two Offshore Marine Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan dan penyelesaian luar pesisir dalam industri minyak dan gas (O&G) Asia Tenggara.

Memegang kepentingan yang besar dalam Two Offshore atas kapasiti peribadinya, Tunku Iskandar yang juga pengerusi eksekutif Kumpulan Melewar akan mengambil jawatan penasihat untuk hala tuju strategik syarikat.

Ahli Lembaga Two Offshore, Ku Mohd Ashraff Ku Yaacob berkata Tunku Iskandar akan membawa nilai yang sangat besar kepada syarikat dalam perkongsian strategik ini dan membolehkan syarikat itu memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan rangkaian luas beliau dalam landskap korporat Malaysia dan pelbagai lagi.

“Saya teruja dengan dengan kedudukan Tunku Iskandar sebagai pemegang saham utama. Perkongsian ini akan meningkatkan profil kami, memperkasakan kami untuk meneruskan strategi pertumbuhan yang agresif dan membolehkan kami mencapai objektif strategik dan operasi kami dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya.

Menerusi sokongan yang dipertingkatkan ini, Two Offshore dijangka merebut peluang dan memacu pertumbuhan dalam pasaran minyak dan gas (O&G) yang menguntungkan di seluruh rantau ASEAN dan rantau lain.

Ketika ini, Two Offshore menawarkan rangkaian logistik dan perkhidmatan kejuruteraan marin luar pesisir dengan tumpuan pada sektor O&G huluan di Malaysia serta Asia Tenggara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan