EKONOMI

PELABUR ASING JADI PEMBELI BERSIH SELEPAS LAPAN MINGGU CATAT JUALAN BERSIH

29/04/2024 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pelabur asing mengakhiri minggu kelapan berturut-turut untuk jualan bersih dan beralih kepada pembeli bersih di Bursa Malaysia, berjumlah RM292.2 juta minggu lepas, menurut MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dana mingguan yang terkini, MIDF Research berkata pelabur asing telah mencatatkan belian dalam sektor seperti utiliti (RM285.8 juta), perkhidmatan kewangan (RM105.3 juta) serta telekomunikasi dan media (RM100.3 juta).

“Minggu lepas, jumlah jualan bersih di lapan pasaran Asia yang kami pantau merosot dengan ketara kepada US$158.7 juta daripada US$9.68 bilion (US$1=RM4.77) pada minggu sebelumnya dan antara pasaran ini, hanya Taiwan, Thailand dan Malaysia menyaksikan aliran masuk.

“Sektor yang menyaksikan jualan bersih tertinggi ialah produk pengguna dan perkhidmatan (-RM223.2 juta), perladangan (-RM68.5 juta) dan tenaga (-RM31.6 juta),” katanya.

MIDF Research berkata institusi tempatan meneruskan trend belian bersih mereka untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan belian bersih berjumlah RM143.3 juta.

Bagi peruncit tempatan, mereka telah mengekalkan jualan bersih mereka selama tujuh minggu berturut-turut, berjumlah RM435.5 juta.

Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) untuk pelabur runcit dan asing, masing-masing merosot sebanyak 10.9 peratus dan 15.5 peratus.

Bagaimanapun, institusi tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan