AM

AIR PENSTABIL DAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA - FADILLAH YUSOF

28/04/2024 01:54 PM

KUCHING, 28 April (Bernama) -- Air merupakan komponen penting yang bertindak sebagai penstabil dan pemangkin untuk pembangunan negara yang mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata ketidaksamaan dalam agihan sumber air, akses yang terhad kepada bekalan air dan perkhidmatan sanitasi, serta kepincangan pengagihan faedah sosial, ekonomi dan alam sekitarm boleh menjadi penghalang kepada keamanan dan kestabilan negara.

"Oleh itu, besar hasrat saya supaya konsep ‘diplomasi air’ diperluaskan kepada pelbagai pihak, dalam memupuk penyelesaian yang inovatif melalui dialog, perkongsian data dan membuat keputusan bersama, agar risiko konflik dapat dikurangkan seterusnya mencapai hasrat ‘Air untuk Keamanan’," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Air Sedunia di sini, hari ini.

Fadillah berkata di Sarawak, sejumlah  46 projek berkaitan air, meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos projek bernilai RM6.01 bilion, telah diluluskan.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini (RP4, 2024)  adalah sebanyak RM298 juta.

"Projek-projek yang diluluskan ini, merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu, pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.

"Kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek pelbagai skop ini, akan dapat mengatasi isu bencana air, mengurangkan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembetungan serta memberi impak yang positif kepada penduduk Sarawak," katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan