AM

AIRASIA TERUS SOKONG INISIATIF FLYSISWA, PERMOHONAN BAUCAR KINI DIBUKA

10/05/2024 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- AirAsia berbangga untuk terus menyokong inisiatif FLYsiswa yang menawarkan subsidi tiket penerbangan domestik kepada pelajar universiti awam, yang disambung semula bermula bulan ini. 

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Paul Caroll berkata dengan penambahan penerbangan antara Pulau Pinang dan Kuching serta Pulau Pinang dan Kota Kinabalu pada Mac, pelajar kini mempunyai akses ke 47 laluan di seluruh rangkaian domestik syarikat penerbangan itu, menghubungkan Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Kami berbesar hati untuk terus menyokong inisiatif FLYsiswa oleh kerajaan tahun ini dan pada 2023, kami telah menerbangkan lebih 90 peratus daripada 24,730 pelajar yang menebus baucar dengan AirAsia, ke kampung halaman mereka.

"Sejajar dengan slogan 'Kini Sesiapapun Boleh Terbang', kami memahami kepentingan sambungan rangkaian dengan tambang berpatutan terutamanya bagi pelajar dan berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam memudahkan perjalanan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu tersedia untuk semua pelajar pendidikan tinggi di universiti awam di Malaysia termasuk politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Caroll berkata pelajar digalakkan memeriksa kelayakan mereka berdasarkan kriteria ditetapkan Kementerian Pengangkutan.

"Semua pelajar yang layak berhak menerima baucar bernilai RM300 dan mereka yang tidak memenuhi kriteria boleh membuat rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi masing-masing.

"Baucar RM300 akan berfungsi sebagai kredit yang boleh digunakan untuk penebusan sehingga nilai subsidi itu habis digunakan sepenuhnya," katanya.

Inisiatif FLYsiswa kata Caroll, kini dibuka untuk permohonan hingga 30 Nov ini.

"Pelajar boleh menggunakan baucar mereka serta-merta selepas penebusan berjaya hingga 31 Dis 2024 dengan tempoh perjalanan hingga 31 Dis 2025.

"Proses permohonan boleh dibuat dengan beberapa langkah mudah iaitu menekan butang 'Tebus Sekarang' melalui airasia.com/aa/flysiswa dan bagi proses penebusan, hanya masukkan nombor baucar pada halaman pembayaran untuk tempahan penerbangan," katanya.

Inisiatif FLYsiswa oleh Kementerian Pengangkutan mula dilaksanakan pada 15 Ogos 2023 dan berakhir pada 31 Dis 2023, bagaimanapun bantuan itu disambung semula bermula 2 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan