DUNIA

ISDB LULUS EMPAT PROJEK BERNILAI US$418 JUTA PADA MESYUARAT TAHUNAN DI RIYADH

27/04/2024 09:37 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

RIYADH, 27 April (Bernama) -- Bank Pembangunan Islam (IsDB) telah meluluskan kira-kira US$418 juta (US$1=RM4.74) bagi pembiayaan projek pembangunan baharu di negara anggotanya iaitu Tajikistan, Benin, Côte d'Ivoire dan Turkiye.

Lembaga Pengarahnya yang dipengerusikan oleh Presiden IsDB Dr Muhammad Al Jasser, memberi kelulusan itu bersempena mesyuarat tahunan kali ke-355 yang menumpukan aspek pembangunan sosioekonomi dan kemampanan.

Mesyuarat di ibu negara Arab Saudi, hari ini, juga merupakan hari pertama Mesyuarat Tahunan Kumpulan IsDB dan sambutan Jubli Emas ke-50 tahun bank itu.

"Tajikistan menerima sejumlah US$150 juta bagi pembinaan Lot-4 Projek Loji Janakuasa Hidro Rogun.

"Projek ini menyediakan kemudahan penjanaan tenaga elektrik boleh baharu yang bersih, berpatutan dan dipercayai bagi memenuhi permintaan domestik negara yang semakin ketara, meningkatkan keterjaminan dan keselamatan tenaga dan pengkomersialannya melalui pasaran tenaga serantau," katanya dalam kenyataan.

Muhammad Al Jasser berkata Lembaga Pengarah IsDB turut meluluskan 60.57 juta euro (1 euro = RM5.07) untuk Projek Pembangunan Rantaian Nilai Ubi Kayu di Benin, Afrika.

Projek itu bertujuan meningkatkan keterjaminan makanan, pertumbuhan ekonomi dan pendapatan isi rumah menerusi penghasilan, pemprosesan, pemasaran dan penglibatan sektor swasta dalam rantaian nilai ubi kayu, ubi keledek dan keladi.

Atas alasan sama juga, Côte d'Ivoire turut mendapat pembiayaan 70.46 juta euro bagi Projek Pembangunan Rantaian Nilai Ubi Kayu yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, terutama bagi golongan wanita dan belia selain memajukan perdagangan peringkat negara dan serantau.

Pembiayaan berjumlah 120 juta euro turut diluluskan bagi Projek Lebuh Raya Nakkas-Basaksehir di Turkiye yang merupakan cabang bagi inisiatif Lebuh Raya Marmara Utara diwujudkan oleh kerajaan negara itu.

Projek utamanya bertujuan menyediakan laluan alternatif bagi menyeberangi Bosphorus yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, tempoh perjalanan serta pelepasan gas rumah hijau.

"Kumpulan ISDB sentiasa menegaskan komitmennya dalam menyokong usaha negara-negara anggota mencapai kemakmuran dan Matlamat Pembangunan Mampan masing-masing selain mengukuhkan daya tahan terhadap kekangan pembangunan masa depan,” kata Muhammad Al Jasser.

IsDB yang mendapat penarafan AAA oleh agensi penarafan utama dunia, merupakan bank pembangunan pelbagai hala utama bagi Selatan Global yang beroperasi selama 50 tahun untuk meningkatkan kehidupan masyarakat kendaliannya dengan memberikan impak berskala.

Bank itu turut mnghimpunkan 57 negara anggota di empat benua selain menyentuh kehidupan hampir seorang daripada setiap lima penduduk dunia.

Matlamatnya adalah untuk membolehkan orang ramai memacu kemajuan ekonomi dan sosial, mewujudkan kemudahan infrastruktur dan membantu mereka mencapai potensi diri.

Beribu pejabat di Jeddah, IsDB juga mempunyai hab serantau dan pusat kecemerlangan di 11 negara anggotanya termasuk di Kuala Lumpur, Malaysia.

Pusat Kecemerlangan di Malaysia misalnya berperanan untuk memudahkan pembangunan ekosistem yang komprehensif, integrasi rantaian nilai dan pengembangan pasaran dalam tiga bidang utama termasuk kewangan Islam dan industri halal.

Malaysia juga merupakan salah satu negara pengasas IsDB setelah menyertai bank berkenaan pada 12 Ogos, 1974.

Ia mempunyai langganan modal sebanyak 1.55 peratus bernilai 868.18 juta dinar Islam atau bersamaan dengan satu hak cabutan khas Tabung Kewangan Antarabangsa.

Selain itu, IsDB telah membiayai 166 projek di negara itu bernilai US$963.2 juta dengan sejumlah 160 projek (US$945.8 juta) telah siap manakala enam lagi projek (US$17.4 juta) sedang dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan